Beijing: Zhang Shuai akhirnya memenangi perlawanan pertamanya di Jelajah WTA sejak Januari 2023 selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS) McCartney Kessler di Terbuka China, malam semalam.
Kemenangan 7-6 (7/5), 7-6 (7/1) ke atas pemain ranking ke-65 itu menamatkan rekod 24 kekalahannya sebelum ini. Kemenangan terakhir pemain yang pernah mara dua suku akhir Grand Slam itu ialah 603 hari lalu.
Shuai, bekas pemain 25 teratas dunia mara ke peringkat lapan terakhir Terbuka Australia pada 2016 dan Wimbledon tiga tahun kemudian.
Namun, dia mengalami krisis kecederaan sejak kebelakangan ini sehingga menyaksikan rankingnya merosot ke tangga 595 dan beraksi di WTA 1000 di China menggunakan tiket wildcard.
Shuai yang berusia 35 tahun akan berdepan pilihan keenam Emma Navarro pada pusingan kedua di Beijing esok.
Dalam Era Terbuka, hanya seorang pemain tewas lebih 24 perlawanan berturut-turut di jelajah tidak termasuk Piala King Billie Jean, menurut WTA.
Ia berlaku pada peringkat awal kejohanan itu apabila Madeleine Pegel tewas 29 aksi WTA bermula 1968 sehingga 1972.
“Saya fikir ini masa paling tepat,” kata Shuai kepada WTA Insider selepas tamat perlawanan. “Kemenangan pertama saya di WTA 15 tahun lalu di Terbuka China dan keesokannya saya menewaskan pemain nombor satu Dinara Safina pada 2009. Mungkin tuhan ada perancangannya untuk saya.”
“Tetapi saya bukan muda lagi dan tidak punyai banyak peluang dan kejohanan untuk saya sertai. Saya mahukan sekurang-kurangnya satu lagi gelaran dalam karier saya,” tambahnya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




