Shuib 'koyak' pandang wajah anak-anak

Shuib 'koyak' pandang wajah anak-anak

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, tidak menyangka momen manis bersama arwah isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memahat kenangan tidak mampu dilupakan.

Berkongsi luahan hati pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual, malam ini, Shuib memaklumkan, dia melayan arwah isteri bagaikan permaisuri dan segala permintaannya dipenuhi sepanjang tiga bulan berkurung di rumah.

“Banyak perkara dilakukan bersama sepanjang tiga bulan ini. Memandangkan hamil, arwah memang suka bermanja.

“Arwah minta saya urut tubuhnya. Sekali urut hingga dua jam. Kadang kala rasa macam ‘amah’ apabila kena paksa.

“Beliau sering mengingatkan saya bahawa dirinya mengandungkan zuriat kami. Namun, lama-kelamaan saya jadi gian, maklum tiga bulan tidak berbuat apa-apa.

“Walaupun tak suruh, saya sendiri menawarkan diri. Saya tak sangka Allah berikan nikmat kasih sayang antara suami isteri sebagai momen terakhir untuk dikenang.

“Hinggalah segala kebahagiaan direntap dengan berita kami sekeluarga disahkan positif COVID-19,” luah Shuib.

Di sebalik wajah tenang, Shuib mengakui, ada ketikanya dirinya goyah kerana menyedari wanita kesayangannya itu tidak akan kembali lagi.

“Tak dinafikan, perasaan ‘koyak’ apabila pandang wajah anak-anak. Saya dapat rasakan arwah sentiasa ada di sisi.

“Perasaan rindu sangat kuat apabila arwah tiada. Anak sulung, Uwais Alqarni banyak mewarisi arwah.

“Jika rindu, wajah Uwais yang akan ditatap untuk mengubat kerinduan,” kata Shuib.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam jam 5.13 pagi, semalam.

Beliau meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu.

Jenazah penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.20 tengah hari, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top