Suasana Isnin lalu, begitu hening dan sunyi sekali. Gerimis sewaktu proses pengebumian mengiringi kepiluan Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu yang terpaksa merelakan pemergian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin yang juga penyanyi terkenal dan usahawan jenama perniagaan berjaya.
Kira-kira jam 6 petang itu juga, Shuib tampil membuat perkongsian video menerusi media sosial. Ia bukan sahaja platform positif berkongsi perasaan seseorang kehilangan insan tersayang, bahkan sarat pelbagai pengajaran berguna.
Beliau juga memberikan tip dan nasihat berguna dari sudut kesihatan mahupun agama.
Bertitik tolak pesanan jururawat di hospital tempat isterinya dirawat, Shuib menekankan kepentingan untuk suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan daripada ancaman COVID-19.
Kebetulan, isterinya juga tidak sempat menjalani proses vaksinasi. Natijahnya, virus itu menjangkiti semua bahagian paru-paru arwah Siti Sarah. Justeru, Shuib berpesan agar kita menyayangi keluarga dengan cara mendapatkan vaksin seberapa segera.
Kedua, sebagai langkah pencegahan tambahan, Shuib menyarankan pengambilan vitamin demi menjaga kesihatan. Sekiranya tidak mampu membeli makanan tambahan di farmasi kerana kekangan kewangan, beliau mengesyorkan makanan atau tumbuhan mempunyai tahap vitamin tinggi.
Ketiga, kurangkan pergerakan ke luar rumah jika tidak keperluan mendesak atau penting. Begitu juga patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka.
Selepas berikhtiar mengambil vaksin, kita juga perlu bertawakal dan berdoa agar Allah SWT melindungi dan memberkati ahli keluarga serta dijauhkan daripada ancaman virus COVID-19.
Semoga Allah SWT memberikan sebesar-besar ganjaran terhadap segala kebaikan dan budi baik Allahyarham Siti Sarah. Ucapan terima kasih juga terhadap Shuib yang memberikan perkongsian berharga
Mohd Hafiz Rosli,
Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




