am@hmetro.com.my
Gombak: Pelawak dan usahawan Shuib, 42, mengesahkan dia dan isterinya, Watie Hanifiah, 37, bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka dilahirkan pada April depan.
Shuib atau Shahmira Muhamad berkata, Watie juga bakal melahirkan anak mereka itu menerusi pembedahan Caesarean.
“Alhamdulillah, kami juga bersyukur kerana setakat ini kandungan Watie berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang alahan.
“Watie yang paling gembira bila doktor mengesahkan kami akan dapat bayi perempuan kerana dia mahu menghias anak kami nanti,” katanya ketika ditemui dalam sesi ‘gender reveal’ yang berlangsung, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Shuib, dia dan Watie memang sepakat memilih untuk melahirkan anak mereka secara pembedahan.
“Memang kami yang pilih untuk melalui pembedahan itu kerana saya yang mahu menemani dan menjaga Watie nanti.
“Saya juga mahu apabila Watie selamat bersalin, saya dapat mandikan anak kami sebab sebelumnya, memang semua saya yang mandikan kecuali anak yang keempat (Ayash),” katanya
Ditanya persediaan menyambut kehadiran anaknya, Watie berkata, dia tidak melakukan sebarang persiapan.
“Setakat ini saya memang tidak ada apa-apa persediaan sebab saya memang rancang mahu selesaikan ‘gender reveal’ dahulu.
“Kemudian selepas tujuh bulan, baru kami buat persiapan. Ini semuanya kita belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Berkongsi pemilihan nama pula, Watie berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada anak kedua mereka iaitu Talita.
“Untuk nama, saya dan Talita yang akan pilih kerana bayi ini perempuan” katanya.
Selain keluarga dan teman rapat, majlis turut dihadiri rakan artis termasuk Fasha Sandha, Aidil Aziz, Sharifah Shahira, Ijoy Azahari, Sharifah Zarina, Siti Sairah dan ramai lagi.
Terdahulu, Watie pernah mengalami keguguran anak pertama mereka sekitar Mei tahun lalu.
Untuk rekod, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Sebelum ini, Shuib mempunyai empat anak hasil perkahwinannya bersama Allahyarham penyanyi Siti Sarah Raissuddin iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




