Shukri Yahaya minta maaf lakon babak unsur lucah, akui teruja tanpa fikir sensitiviti

Shukri Yahaya minta maaf lakon babak unsur lucah, akui teruja tanpa fikir sensitiviti

Pelakon Shukri Yahaya tampil minta maaf berhubung isu melakonkan babak didakwa mempunyai unsur lucah bersama Alya Iman dalam sebuah drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Sebelum ini, babak lakonan Shukri Yahaya bersama Alya Iman mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan warganet kerana memaparkan adegan yang kurang sesuai untuk ditonton.

Babak tersebut memaparkan Azim (dilakonkan Shukri Yahaya) sedang mandi sambil dilihat oleh pembantu peribadinya, Tsuraya  (Alya Iman) yang hanya memakai baju tidur.

Tidak cukup dengan itu, Azim juga bertanya sekiranya Tsuraya sudah membersihkan diri sebelum memimpin wanita itu masuk dalam bilik mandi.

Artikel lain: “Tak sangka Shukri Yahaya ambil watak macam ni” – Netizen

Shukri Yahaya minta maaf lakon babak unsur lucah

Memetik laporan BH Online, pemilik nama Mohd Shukri Yahaya mengaku keterlanjurannya dalam menjayakan babak berkenaan tanpa memikirkan sensitiviti para penonton.

Aktor berusia 36 tahun itu berkata, setelah selesai penggambaran barulah dirinya terdetik rasa bersalah.

“Saya minta maaf. Apa yang berlaku adalah kekhilafan saya. Babak ini sebenarnya dirakam pada hari pertama memulakan penggambaran.
“Saya tak nafikan bahawa saya teruja untuk melakonkan babak ini tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat. Ia (kesilapan sama) tidak akan berulang kembali pada masa akan datang,”ujarnya.

Mahu bawa kelainan watak lakonan

Dalam pada itu, pelakon berusia 36 tahun terbabit menjelaskan dirinya tidak suka membaca skrip terlebih dahulu dan hanya melakukan interpretasi sewaktu hari penggambaran.

“Terus terang, saya memang tak suka baca skrip dan sejenis bila berada di set penggambaran barulah buat interpretasi berdasarkan skrip.
“Pada awalnya, saya bayangkan babak ini sedikit sahaja. Lagipun, babak ini dilakonkan pada hari pertama penggambaran dan saya terlampau bersungguh-sungguh untuk jayakan watak,” ujar Shukri Yahaya.

Mengulas mengenai pandangan benci netizen, bapa kepada dua cahaya mata berkenaan menjelaskan dia hanya mahukan kelainan dalam lakonannya.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka percubaan tersebut menerima pandangan negatif dalam kalangan warganet terutama peminat.

“Saya cuba nak nampak lain sebab sebelum ini, saya selalu bawa watak lelaki lurus bendul. 
“Jadi, saya nak buktika boleh bawa watak ini. Namun, percubaan saya tidak diterima orang ramai. Ini kerana ia agak sensitif,”ujarnya lagi.

Shukri Yahaya minta maaf lakon babak unsur lucah

Disoal mengenai perasaan Tya Adnan mengenai babak tersebut, pelakon drama Andai Itu Takdirnya berkata dirinya bukanlah tidak menghormati perasaan isteri.

Jelas Shukri, isterinya mengambil pendekatan untuk tidak menonton drama berkenaan.

“Sebelum itu, saya sudah beritahu Tya mengenai babak ini. Jadi, saya akan lebih berhati-hati selepas ini,”katanya.

Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud )