nurul_husna@hmetro.com.my
Seperti manusia sakit, kucing kesayangan anda yang sakit juga berhak mendapat kasih sayang dan perhatian tambahan untuk sembuh lebih cepat.
Bagaimanapun, kucing biasanya tidak menyukai bunyi yang kuat atau ruang sesak, jadi jika ia sakit, penyediaan tempat berehat yang tenang jauh dari bunyi bising membantu memastikan penjagaan terbaik untuknya.
Selain tempat tidur yang hangat, pastikan haiwan itu mempunyai akses mudah kepada makanan dan air selain tempat pembuangan najis berada dalam jangkauannya.
Ketika kucing anda pulih daripada penyakit adalah penting membiarkannya berehat, jadi elakkan dari memprovokasi atau mengganggu haiwan itu.
Rancangan diet sesuai juga penting untuk kucing yang sakit. Pastikan kucing anda mempunyai jumlah makanan dan air diperlukan untuk kekal diberi makan dan terhidrat.
Menyediakan air minuman bersih dan makanan kucing yang segar dalam kuantiti lebih kecil boleh menggalakkan haiwan itu makan atau minum ketika sakit walaupun pengambilannya sedikit.
Perlu diingat bahawa kucing yang sakit tidak dapat bergantung pada diet biasa. Jika masih buntu, dapatkan nasihat doktor haiwan bagi kucing anda mendapat diet secukupnya.
Pada masa sama, kucing yang sakit memerlukan langkah pencegahan tertentu termasuk anda yang berada dekat dengan haiwan berkenaan.
Cuci tangan anda dengan bersih sebelum dan selepas menyentuh haiwan itu bagi mengelakkan penularan kuman dalam apa jua bentuk.
Membersihkan kotak sampah kucing secara berkala umpamanya berupaya mengelakkan pencemaran.
Anda juga perlu sentiasa berwaspada kerana dalam keadaan berpenyakit, kucing anda mungkin tidak berada dalam ‘mood’ terbaiknya.
Jadi, adalah lebih baik untuk mengelakkan sebarang ‘gurauan’ atau ‘gangguan’ yang tidak perlu ketika bersama haiwan itu biarpun ia jinak dan biasa dengan anda. Ini kerana insiden terkena cakar atau digigit mungkin boleh berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd