asyikin.mat@hmetro.com.my
SEAWAL usia empat tahun lagi, mereka sudah diberikan pendedahan awal dengan aktiviti memanah berkuda.
Ada antara mereka sudah cekap mengendalikan kuda selain memanah tepat ke sasaran walaupun hanya menjalani latihan dalam tempoh singkat.
Melihat aksi tangkas mereka menunggang kuda sambil membawa busur dan anak panah, jelas bukan ‘kaleng-kaleng’, persis pemanah berkuda profesional.
Semua ini hasil bimbingan jurulatih utama yang juga pengasas Darul Jariyah, Jalijah Awang Kenit.
Jalijah berkata, memanah berkuda adalah aktiviti sunah yang dianjurkan dalam Islam.
Menurutnya, dia berharap lebih ramai kanak-kanak menguasai kemahiran berkenaan pada usia muda.
“Inisiatif ini bermula tujuh tahun lalu, malah kami berjaya melahirkan lima atlet pemanah berkuda bertaraf antarabangsa.
“Kini saya melatih 30 pelapis dan mereka kerap dibawa bertanding ke luar negara.
“Baru-baru ini, 21 pemanah berkuda dibawa ke Banten, Indonesia selama tujuh hari untuk menuntut ilmu dan menyertai pelbagai kategori pertandingan memanah berkuda,” katanya.
Menurut Jalijah, latihan memanah berkuda bukan sekadar menunggang dan memanah sebaliknya membabitkan disiplin tinggi, kawalan diri dan kefahaman mendalam terhadap pergerakan kuda.
“Peserta akan menjalani latihan secara berperingkat untuk melatih kawalan, keseimbangan dan kemahiran menunggang,” katanya.
Jalijah berkata, latihan berkenaan bermula dengan berjalan (walk), larian kuda sederhana (trot) dan larian pantas (canter) sebelum dibenarkan memanah ketika kuda bergerak lebih pantas iaitu dalam keadaan ‘gallop’ (90 meter antara enam hingga tujuh saat).
“Kami sudah menaik taraf laluan latihan kepada sejauh 200 meter bagi membiasakan pemanah dengan suasana pertandingan.
“Laluan ini tidak berpagar dan mencabar, malah ia menguji keupayaan pemanah mengendalikan kuda di kawasan terbuka.
“Ini bagi memastikan kuda sentiasa berlari di laluan ditetapkan dan kembali semula ke garisan permulaan latihan,” katanya.
Jelas Jalijah, selain melahirkan atlet, memanah berkuda bukan sekadar sukan, tetapi turut menjadi terapi emosi dan kesihatan.
Katanya, aktiviti berkenaan membantu meningkatkan fokus, menenangkan fikiran dan menjadi terapi kepada sesetengah individu, termasuk kanak-kanak istimewa.
“Saya pernah diserang angin ahmar ringan dan menggunakan terapi kuda untuk pemulihan,” katanya.
Katanya lagi, harapannya dalam masa 10 tahun akan datang, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemanah berkuda.
“Perempuan juga perlu mahir dalam memanah berkuda kerana ia satu antara seni mempertahankan diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




