redzuan.muharam@hmetro.com.my
Seberang Perai: Lima sekawan ini masih di bangku sekolah rendah namun masing-masing sudah menunjukkan ‘taring’ ketika bermain boling.
Mereka terdiri daripada Muhammad Dafy Irfan Zally Ismandy, 9, Muhammad Maaisy Khayr Mohd Khairi, 8, Muhammad Fakhri Mohd Firdaus, 8, Muhammad Maaliki Khayr Mohd Khairi dan Muhammad Arif Ramadhan yang masing-masing berusia tujuh tahun.
Kehebatan mereka dapat dilihat menerusi video dimuat naik di TikTok yang menunjukkan kanak-kanak berkenaan bersorak selepas kesemuanya membuat balingan tepat (strike).
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen kagum dan memuji kehebatan kanak-kanak berkenaan walaupun bermain secara santai malah ada mengatakan mereka adalah pelapis masa depan.
Video itu dimuat naik jurulatih mereka, Adrian Dragon, 36, atau dikenali Dragon yang menguruskan akademi MegaMall Bowling Centre Youth Club Pulau Pinang atau
MMBC YOUTH CLUB.
Menurut Andrian, video itu dirakam secara spontan ketika sesi latihan bersama anak didiknya itu.
“Saya rakam sebab nampak mereka (anak didik) comel waktu itu. Punca mereka bersorak dalam video itu adalah kerana tengok abang senior mereka berlatih dan bertanding di luar pun begitu.
“Saya sudah boleh agak ia boleh tular selepas muat naik di TikTok kerana ramai orang suka budak-budak cuma tak jangka pula sampai tahap begitu.
“Anak didik saya tahu video itu tular dan mereka pun sangat gembira dan teruja kerana pergi sekolah semua orang bercakap mengenainya (video tular),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Andrian berkata, lima anak didiknya itu mengikuti latihan di bawah bimbingannya sejak dua tahun lalu.
Katanya, mereka dihantar ke akademi oleh ibu bapa dan bermula sebagai amatur.
“Semuanya bermula dengan kosong, kiranya saya memang latih mereka daripada tak tahu main boling.
“Mereka adalah kumpulan ketiga atau keempat yang berlatih di bawah bimbingan saya.
“Ambil masa enam bulan ke setahun untuk latih mereka sampai mahir. Setiap seorang mereka mempunyai tahap penguasaan berbeza dan ia bergantung kepada kekerapan latihan juga.
“Buat masa ini, mereka berlatih empat hari dalam seminggu,” katanya juga jurulatih atlet boling peringkat negeri.
Andrian berkata, anak didiknya itu sudah diberi pendedahan menyertai kejohanan peringkat sekolah dan sirkit kebangsaan.
Sebagai jurulatih, katanya, dia gembira melihat peningkatan anak didiknya itu walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Cuma, saya sentiasa ingatkan mereka supaya hormat orang tak kisah siapa pun dan jangan pernah anggap diri sudah hebat.
“Itu yang saya titik beratkan kerana mahu mereka sentiasa merendah diri dan ingat daripada mana bermula,” katanya yang menguruskan akademi bersama rakan jurulatih, Ahmad Aidil Abdul Halim, 28.
Katanya, akademi diusahakan terbuka kepada semua kanak-kanak yang berminat menceburi sukan boling.
“Mereka yang berminat boleh terus datang mendaftar di MMBC YOUTH CLUB kerana kita perlukan dan mahu mengasah lebih ramai bakat baru yang boleh jadi pelapis masa depan,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




