Dubai: Sekumpulan penjenayah merancang lebih setahun untuk mencuri berlian 21.25 karat bernilai AS$25 juta (kira-kira RM103.4 juta), namun semuanya sia-sia selepas digagalkan polis sebelum ia sempat dibawa keluar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut The National, Polis Dubai mengesan tiga suspek itu yang menyamar sebagai individu kaya dan menyewa kereta mewah serta mengatur mesyuarat di hotel mewah untuk memperdaya peniaga yang disasarkan.
Mereka memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa mereka adalah ahli perniagaan sah dan ada jutawan berminat untuk membeli berlian berkenaan, menurut Pejabat Media Kerajaan Dubai.
Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Dubai berjaya menjejaki ketiga-tiga suspek, menahan mereka dan merampas semula berlian itu sebelum ia sempat dibawa keluar dari UAE.
Pejabat media kerajaan berkata, berlian dicuri diklasifikasikan sebagai berlian merah jambu ‘fancy intense’ dengan berat 21.25 karat, mempunyai kejernihan, simetri dan kilauan yang luar biasa.
Nilai tinggi dan kejernihannya menjadikan berlian itu yang diimport dari Eropah sebagai sasaran penjenayah, mendorong suspek mengatur pelan rompakan teratur, kata Polis Dubai.
Mereka mengatur beberapa pertemuan dengan peniaga itu, menyewa kereta mewah dan menemuinya di hotel-hotel mewah untuk meyakinkan dia bahawa mereka usahawan berkredibiliti, malah sanggup mengupah pakar berlian terkenal untuk mengesahkan ketulenan batu itu.
Selepas termakan pujukan, suspek mengajak mangsa untuk bertemu di sebuah vila dengan alasan untuk memperkenalkannya kepada seorang pembeli, namun sebaik sahaja berlian itu dikeluarkan, mereka merampasnya dan melarikan diri.
Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kes dan memburu suspek yang bersembunyi secara berasingan selepas rompakan. Pasukan itu menyerbu lokasi secara serentak dan menahan semua suspek serta menemui semula berlian yang hilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd