redzuan.muharam@hmetro.com.my
Jempol: Biarpun menyarung seragam anggota beruniform, Shariman Masaudee ada kelebihannya kerana mempunyai ‘tangan berseni’ menerusi kemahiran membuat kek.
Kelebihan yang ada itu tidak disia-siakan kerana dimanfaatkan untuk mencari pendapatan sampingan dengan mengambil tempahan kek hujan panas.
Shariman, 30, berkata, percubaannya berhasil kerana semakin mendapat banyak permintaan daripada pelanggan terutama selepas dia berkongsi video hasil kerjanya di media sosial.
Menceritakan kisahnya, Shariman yang bertugas sebagai polis bantuan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Gemas, Negeri Sembilan berkata, perjalanannya dalam dunia bakeri bermula pada 2019 dengan niat asalnya untuk mengisi masa terluang.
“Saya tidak tahu membuat kek tapi belajar selepas menimba pengalaman bekerja di kedai bakeri ibu saudara selama dua tahun.
“Permulaannya buat roti sarang lebah dan ambil masa setahun juga untuk mahir tapi beralih kepada kek selepas terima tempahan daripada kawan untuk buat kek kahwin bagi majlis perkahwinannya.
“Sejak itu, saya mula dapat tempahan kek dengan ada antaranya tahu menerusi hebahan mulut ke mulut.
“Cuma sekarang tak ambil sangat tempahan kek kahwin kerana fokus dengan kek hujan panas yang semakin mendapat permintaan sejak awal tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Shariman, rutin membuat kek bermula jam 3 petang iaitu selepas pulang ke rumah.
Katanya, dia menyiapkan tempahan sendiri dan ada kalanya berada di dapur sehingga jam 2 pagi.
“Setakat ini, saya dapat bahagikan masa dengan baik dan waktu bekerja, saya fokus buat kerja.
“Di rumah, saya pembuat kek jadi cuba sehabis baik untuk siapkan tempahan pelanggan.
“Bilangan tempahan tak menentu tapi tak putus kerana ada saja… tempahan paling banyak pernah diterima adalah 150 kek untuk semalam.
“Maklum balas pelanggan positif kerana rata-ratanya berpuas hati. Cuma biasalah, pelanggan ada bermacam ragam… pernah satu hari, pelanggan datang nak ambil kek tapi bukan salah saya kerana dia yang salah tarikh,” katanya.
Biarpun sudah tujuh tahun dalam dunia bakeri, Shariman berkata, dia masih menambah ilmu dengan mengikuti kelas pembuatan kek secara dalam talian.
“Saya tak boleh berada di zon selesa jadi kena belajar ilmu baru kerana tak rugi pun.
“Buat masa ini, saya belum terfikir nak berhenti malah perancangan saya adalah membuka kilang atau bengkel pembuatan kek.
“Impian ke arah itu kerana bulan Ramadan, saya bekalkan kuih raya jadi bila adanya kilang, saya dapat beri peluang kerja kepada mereka yang nak cari duit tambahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




