Pelakon popular Zara Zya tampil bersuara selepas seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai dirinya demi memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
Enggan berdiam diri, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, nekad mendedahkan identiti lelaki terbabit termasuk nama dan wajahnya di media sosial bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.
“Lelaki ini menyamar sebagai saya dengan menghubungi mangsa melalui mesej bertulis dan bercetak di WhatsApp. Tujuannya untuk menipu dan manipulasi mangsa demi kepentingan peribadi.
“Dia turut memperdaya mangsa dengan mendakwa adanya projek kerjasama antara saya dan Malaysia Airlines,” jelas Zara menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, lengkap dengan tangkap layar perbualan antara suspek dan mangsa.
Lebih mengejutkan, individu terbabit turut menyebarkan dakwaan palsu kononnya dia dan Zara bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
“Saya hanya kenal dia atas urusan perniagaan. Kami pernah bertemu sebelum ini kerana dia membeli kambing perap dari gerai saya semasa Ramadan lalu, itu sahaja,” ujarnya.
Zara turut mendedahkan penipuan itu terbongkar selepas mangsa tampil membuat aduan kepada pengurusnya, Jamal Salleh.
“Dia reka cerita kononnya saya ada hubungan cinta dengannya dan kami akan berkahwin. Semuanya fitnah semata-mata. Saya langsung tidak kenal dia secara peribadi,” katanya tegas.
Mengambil langkah segera, Zara telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya.
“Saya beri tempoh 24 jam kepada dia untuk buat permohonan maaf secara terbuka. Jika tidak, saya akan ambil tindakan undang-undang dan failkan saman fitnah demi membersihkan nama saya,” katanya.