Baru-baru ini polis telah menklasifikasikan kematian Allahyarham Nidza Afham adalah sebagai mati mengejut.
Terbaru, dalam aplikasi X seorang pengguna, @os_bsn telah melakukan andaian bahawa mati mengejut adalah bersamaan dengan bunuh diri.
Nidza Afham disahkan mati mengejut. Dalam erti kata lain dia bunuh diri. Depresi adalah pembunuh dalam diam.
Berdasarkan hantaran terakhir Nidza dalam aplikasi Tik Tok, berkemungkinan dia ada masalah dengan teman wanitanya.
Walau bagaimanapun, adik kepada Allahyarham, Aufahanie menafikan kenyataan itu di akaunnya @aufaamokhtar dan meminta pengguna tersebut memadam ciapan itu supaya tidak menimbulkan fitnah.
Siapakah kamu untuk menyebarkan ketidakpastian tentang cara pemergian abang saya. Sedangkan kami sekeluarga masih menunggu keputusan yang ‘pending’ (belum selesai) dari pihak hospital.
Saya minta anda ke balai polis dan beri keterangan bahawa anda melihat dengan mata anda dan anda saksi abang saya ‘ambil’ nyawanya sendiri berserta dengan bukti. Jika tidak, sila padam ciapan berunsur fitnah segera.
Aufahanie juga telah membidas andaian pengguna tersebut yang mengaitkan teman wanita abangnya sebagai punca masalah.
Siapakah kamu untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kamu mengenali abang saya dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan teman wanitanya. Telefon bimbit arwah ada pada kami, dalam whatsapp kami baca perancangan mereka untuk berkahwin.
Selain Aufahanie, beberapa orang netizen juga meminta pengguna tersebut memadam hantaran itu supaya tidak menimbulkan spekulasi orang ramai.
Aufahanie juga menjelaskan bahawa keluarganya dan teman wanita Nidza Afham mempunyai hubungan rapat.
Beberapa hari sebelum abang saya dimaklumkan hilang, mereka berdua baru sahaja pergi ke karnival perkahwinan untuk mencari lokasi majlis perkahwinan. Kami saksi bahawasanya mereka dalam keadaan yang baik, sedang bahagia bersama-sama.
Teman wanita abang saya sangat baik. Kalau bukan sebab dia, kami takkan tahu yang abang sudah hilang dan takkan tahu di mana untuk mencarinya. Allah temukan abang dan dia (teman wanita) bersebab. Sebagai pertolongan kepada kami dan juga arwah abang saya.
Terdahulu, bedah siasat terhadap mayat Nidza Afham didapati tiada kecederaan fizikal dan perkara ini dikatakan sendiri Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.






