am@hmetro.com.my
Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi mengklasifikasikan kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15 yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan tahun depan.
Perdana Menteri sekali gus menafikan anggapan sebilangan pihak yang secara pasti mentakrifkan bahawa T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas seperti takrifan yang dipakai pada masa kini.
Ahli Parlimen Tambun itu malah mengatakan kerajaan sedia mempertimbangkan agar klasifikasi kelompok yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi itu diubah daripada T15 menjadi T10 iaitu kelompok 10 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi.
“Ada orang marah sebab ianya T15…. Siapa kata (T15 adalah) RM12,000? Ia belum diputuskan kerana kita hendak tengok apakah T15 itu mampu bayar.
“Kalau tak mampu, kita jadikan pula T10, atau tingkatkan (kadar tangga pendapatan) T15 itu menjadi lebih tinggi daripada RM12,000 iaitu mungkin RM15,000 atau RM18,000 sebulan.
“Ini tidak! Dipertahankan pula T15 itu, sedangkan ada daripada mereka berpendapatan RM100,000 malah ada yang RM1 juta sebulan. Takkan yang itu hendak pertahankan?
“Kalau pendapatan dia rendah, kita bawa dan kita bagi pertimbangan untuk tidak mahu bebankan rakyat. Yang pentingnya, (sekurang-kurangnya) 85 peratus daripada rakyat Malaysia tidak terkesan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar dilapor berkata, warga asing dan 15 peratus pengguna teratas, atau digelar ‘mahakaya’, menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 kira-kira RM8 bilion dan justeru nilai itu lebih baik sekiranya dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan pengangkutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




