KUALA TERENGGANU – Landskap politik Melayu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini menjadi medan perebutan sengit untuk menentukan siapa pewaris sebenar dominasi politik Melayu selepas berakhirnya era penguasaan tunggal UMNO.
Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, fasa fragmentasi atau pemecahan kuasa hari ini menyaksikan sokongan masyarakat Melayu tidak lagi terarah kepada satu parti mutlak, sebaliknya terbahagi kepada beberapa blok utama yang bersaing sengit untuk mendapatkan legitimasi.
Menurut beliau, evolusi ini tidak mengurangkan kuasa politik Melayu dalam institusi negara, namun penyebaran kuasa tersebut dalam pelbagai gabungan telah mengubah dinamika pembentukan konsensus politik yang stabil.
Azrie menjelaskan, kehilangan pusat kuasa tunggal yang dahulunya dinikmati oleh UMNO selama lebih enam dekad merupakan satu peralihan struktur yang tidak boleh dielakkan. Malah, proses pengeseran ini bukanlah perkara baharu yang berlaku selepas PRU14 sahaja.
”Fragmentasi politik Melayu ini sudah bermula sejak Krisis UMNO 1987 yang melahirkan Parti Semangat 46, disusuli gerakan Reformasi 1998 yang menubuhkan PKR, dan dipercepatkan lagi dengan kemunculan Bersatu pada 2016.
“Kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akhirnya menamatkan terus sistem satu parti dominan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Memetik teori sarjana sains politik Giovanni Sartori, beliau menyatakan Malaysia kini berada dalam fasa moderate pluralism menuju sistem persaingan pelbagai kutub, di mana parti-parti Melayu terpaksa bergantung kepada rundingan berterusan untuk menguruskan kuasa.
Katanya, dalam perlumbaan mengisi kekosongan yang ditinggalkan UMNO, Pas dilihat berjaya memposisikan diri sebagai parti individu dengan jumlah kerusi Parlimen terbanyak selepas PRU15 dengan memanfaatkan naratif Melayu-Islam.
Bagaimanapun, beliau melihat terdapat kekangan strategik apabila Pas memilih untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu berbanding meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
“Tindakan ini mencetuskan vote fragmentation (pemecahan undi) kerana ketiga-tiga parti bersaing dalam pasaran pengundi yang sama. Situasi ini turut didorong oleh fenomena ethnic outbidding seperti yang dikemukakan oleh Donald Horowitz.
”Parti-parti yang bersaing dalam kelompok etnik yang sama cenderung menggunakan naratif identiti yang lebih ekstrem untuk membuktikan mereka pembela paling tulen. Walaupun memberi keuntungan politik jangka pendek, ia meningkatkan polarisasi dan menyukarkan pembentukan kompromi nasional,” jelas beliau.
Azrie yang juga Setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu berkata, walaupun Pas muncul sebagai gergasi politik dalam segmen pengundi Melayu, parti itu masih gagal menterjemahkannya kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Realiti ini membuktikan prinsip sistem parti moden, dominasi dalam satu kelompok kaum sahaja tidak menjamin kuasa pemerintahan nasional dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang menuntut pembentukan koalisi yang lebih luas dan inklusif.
Sebaliknya, beliau berkata, pengurusan kuasa politik Melayu hari ini diterjemahkan melalui model baharu di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kuasa Melayu terhakis, sebaliknya menegaskan kedudukan tersebut kekal utuh berdasarkan bukti empirikal.
”Perdana Menteri kekal seorang pemimpin Melayu, majoriti Kabinet diterajui orang Melayu, dan institusi teras negara seperti perkhidmatan awam serta pasukan keselamatan terus didominasi orang Melayu.
“Apa yang berubah hanyalah pendekatan, di mana kepimpinan Melayu dikekalkan sebagai teras sambil membina jambatan kerjasama rentas etnik,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan integrasi ini terbukti berjaya membawa kestabilan politik yang membuahkan hasil ekonomi signifikan antaranya pertumbuhan ekonomi mengukuh kepada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.
“Berdasarkan rekod, kerajaan perpaduan berjaya menarik pelaburan diluluskan tertinggi mencecah RM378.5 bilion pada tahun 2024 (peningkatan hampir 15 peratus).
“Selain itu terdapat juga peluang pekerjaan dimana lonjakan pelaburan ini dijangka menjana lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu,” ujarnya sambil merumuskan bahawa masa depan politik tanah air tidak lagi akan melihat kembalinya era satu parti tunggal yang berkuasa.
Tambah beliau, pewaris dominasi politik Melayu selepas era UMNO akan ditentukan oleh kemampuan parti-parti seperti Pas, UMNO, PKR, mahupun Bersatu untuk mengimbangi tiga elemen kritikal iaitu mengekalkan hak Melayu sebagai teras Perlembagaan, menjamin kestabilan institusi negara, dan keupayaan mengurus kerjasama dalam masyarakat berbilang kaum.
”Cabaran terbesar hari ini bukan lagi soal siapa yang paling kuat atau paling lantang dalam kalangan orang Melayu, tetapi siapa yang mempunyai kapasiti politik untuk memimpin sebuah negara moden yang semakin kompleks,” ujarnya.



