Siapa pula yang jaga penjaga ibu bapa sakit?

Siapa pula yang jaga penjaga ibu bapa sakit?

SAYA ada membaca dalam media sosial tentang keluhan atau mungkin lebih sesuai saya katakan luahan hati seorang wanita muda. Sebelum ini dia bergaji besar. Aktif. Namun dia kini menyerahkan sepenuh ruang hidupnya berbakti menjaga ibu yang sudah tua dan terlantar sakit di rumah.

Katanya, ketika ini bukan ibunya saja hilang nikmat hidup. Dia juga.

Dia hilang masa untuk diri sendiri, tidak sempat jaga kesihatan diri dan hilang semua kebebasan untuk ke sana sini bersama kawan-kawan manakala adik-beradik lain meletakkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepadanya atas alasan dia belum berkahwin dan tiada tanggungan lain.

“Reda? Ya, reda tapi saya sudah tiada duit dan mental saya ‘koyak rabak’. Saya murung. Saya masih muda untuk ini semua,” katanya.

Seorang pembaca memberikan komen – “Kena ubah mind set sekarang dik. Hidup ini untuk jaga orang tua. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Nanti stress. Jaga diri.”

Saya bungkam dengan komen itu. Nasihat sepatutnya jangan seperti menghembus api lilin, suruh padam.

Memang bukan senang hendak jadi ‘superhero’ dalam keluarga. Lebih-lebih lagi menjaga pesakit yang tidak boleh bergerak dan mengurus diri sendiri, walaupun dengan memegang segelas air.

‘Buat keras hati’ terus bekerja. Fikir hal sendiri. Boleh. Tetapi siapa pula hendak suapkan makan, minum ubat pada ibu atau ayah? Tergamak membiarkan mereka? Adik beradik lain bertolak-tolak dengan pelbagai alasan walaupun boleh saja jaga bergilir-gilir. Akhirnya, surat letak jawatan diserah pada majikan.

Ini adalah realiti kehidupan yang sedang menghentam ribuan, malah mungkin jutaan rakyat Malaysia pada saat ini.

Kita sedang melalui satu ‘gelombang senyap’ di mana golongan profesional dan tenaga kerja muda terpaksa mengorbankan masa depan ekonomi mereka demi menjadi jururawat tidak formal di rumah sendiri. Realiti di Malaysia hari ini menyaksikan dilema penjagaan ibu bapa yang sakit dan tua semakin meruncing. Ramai terpaksa mengorbankan kerjaya demi menjaga keluarga.

Malaysia dijangka memasuki fasa negara tua menjelang tahun 2050, di mana penduduk yang berusia 60 tahun ke atas akan merangkumi 15.3 peratus daripada populasi.
Persoalannya, apabila golongan ini sakit, siapa yang menjaga? Sudah tentu anak. Hendak harapkan mengupah penjaga (caregiver) – hanya orang yang mampu boleh berbuat demikian. Upahnya bukan sedikit. Apatah lagi untuk penjagaan setiap hari.

Maka, sudah tentu isu ini bukan lagi sekadar isu domestik atau hal peribadi yang boleh dianggap remeh. Sejauh mana impaknya kepada negara dan kualiti hidup rakyat?

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan terdapat kira-kira 3.2 juta rakyat di negara ini tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana menggalas tanggungjawab menjaga keluarga, terutamanya ibu bapa yang uzur.

Majoriti daripada jumlah besar ini adalah golongan wanita, yang sudah berkeluarga dan belum berkeluarga.

Beliau turut berkongsi bahawa nilai penjagaan dan kerja rumah yang tidak dibayar ini mencecah RM379 bilion setahun berdasarkan kajian oleh Institut Kajian dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Bayangkan berapa banyak kerugian tenaga kerja produktif yang terpaksa dilepaskan oleh pasaran ekonomi negara hanya kerana kita kekurangan sistem sokongan penjagaan yang menyeluruh.

Menurut beliau lagi, sekiranya sistem penjagaan yang boleh diakses dan diyakini wujud, penyertaan semula tenaga kerja ini mampu menyumbang sekitar RM77 bilion setahun atau kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Kehilangan pendapatan bukan saja membebankan, malah menjejaskan caruman simpanan masa depan. Lebih membebankan kewangan, ada yang terpaksa menghabiskan lebih RM1,000 sebulan untuk kos lampin pakai buang dan susu khas.

Kalau mahu harapkan anak seorang diri memikul semua ini, berperang dengan kemurungan, adakah ini yang dikatakan hidup yang berkualiti? Tentu tidak. Sudah tiba masanya penjagaan ini perlu diringankan dan dijadikan sebagai salah satu agenda nasional bukan kisah peribadi lagi.

Kerajaan mungkin boleh melihat keperluan mewujudkan skim cuti khas berbayar buat pekerja yang mempunyai ibu bapa sakit kritikal. Majikan diharapkan lebih berempati dalam isu ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga boleh memperluas lagi skim bantuan kewangan untuk golongan yang mengupah pusat jagaan profesional atau jururawat terlatih (subsidi penjaga caregiver dan pelepasan cukai). Ini secara tidak langsung membolehkan anak terus bekerja.

Pusat jagaan harian mesra rakyat juga perlu diwujudkan. Perbanyakkan pusat jagaan harian warga emas yang ‘mampu milik’ tetapi pada masa sama lengkap dengan fisioterapi dan anak-anak boleh menghantar ibu bapanya pada waktu pagi dan petang ambil. Dengan cara ini anak boleh keluar mencari rezeki dengan tenang.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan masalah ini. Ini adalah masalah global. Ada beberapa negara sudah menanganinya untuk kesejahteraan rakyatnya.

Di Jepun, mereka ada sistem insurans penjagaan jangka panjang (Long-Term Care Insurance). Rakyat wajib mencarum bermula umur 40 tahun lagi. Bila mak ayah sakit, kerajaan menanggung sebahagian besar kos pusat jagaan atau pembantu rumah.

Di Sweden, mereka mengutamakan perkhidmatan penjagaan di rumah yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan. Warga emas tidak perlu berpindah ke institusi lain di mana jururawat datang melawat dan menjaga mereka di rumah sendiri.

Di Australia, kerajaan negara itu menyediakan pakej penjagaan di rumah (Home Care Packages) mengikut tahap kebergantungan fizikal atau kesihatan warga emas yang membolehkan mereka mendapat perkhidmatan harian seperti pembersihan, penyediaan makanan, dan rawatan perubatan.

Hakikatnya, menjaga orang tua adalah satu ibadah yang sangat besar pahalanya. Tiada seorang pun anak yang waras dan telah dididik dengan kasih sayang mahu membuang orang tua mereka ke rumah kebajikan.

Namun, kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata. Amanah tidak bermakna ia perlu dipikul seorang diri sampai rebah. Jika anak sendiri akhirnya jatuh sakit, diserang kemurungan, dan mengalami tekanan kewangan, siapakah lagi yang tinggal untuk menjaga si ibu atau ayah?

Negara ini memerlukan satu ekosistem yang menyokong, memeluk dan membantu kebajikan penjaga ibu bapa sakit ini, supaya tanggungjawab suci ini tidak lagi berakhir dengan kehilangan kerjaya dan hidup dalam ruang lingkup yang serba murung dan dipinggirkan.

Hidup ini macam roda. Semua akan melalui fasa seperti ini. Sama ada sebagai penjaga atau pesakit.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Scroll to Top