rama@mediaprima.om.my
Pertanggungjawaban adalah perkataan yang paling mahal dalam mana-mana tragedi.
Dan menyalahkan mangsa yang terkorban dalam sesuatu tragedi dengan meletakkan pertanggungjawaban di bahu mereka adalah tindakan paling murah.
Mengapa ia tindakan paling tidak wajar? Kerana orang yang sudah pergi tidak akan kembali bagi membela pertuduhan yang dilemparkan ke atas mereka.
Jadi apabila polis menuduh Hassan Shazali, 52, cuai dalam pemanduan sehingga menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Fortuner yang dinaiki bersama Suzaimah Che Azis, 34, terhumban ke dalam gaung sehingga meragut nyawa kedua-dua mereka, pertuduhan itu secara hakikatnya tidak lagi boleh dicabar oleh pihak yang dituduh kerana mereka sudah tiada.
Dan kebenaran berkubur bersama mereka dalam gaung sedalam 61 meter itu.
Betul ke mereka cuai? Polis sendiri berkata kenderaan malang yang terhumban dalam insiden di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) pada Jumaat lalu itu tidak dipandu laju.
Polis beri dua dalil kepada penemuan itu. Tiada kesan brek di lokasi kejadian. Kedua, SUV itu tidak ‘terbang’, sebaliknya secara tiba-tiba jatuh ke dalam gaung. Maksudnya, Hassan memang cermat dalam pemanduannya. Justeru, di mana cuainya?
Kebenaran yang jelas, Hassan yang memandu dari Hulu Terengganu menuju ke Gua Musang dalam kejadian jam 5.30 petang itu memang tidak tahu jalan itu ditutup.
Tiada orang waras akan melewati jalan yang terputus dua akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat pada musim tengkujuh pada November tahun lepas.
Apakah tidak mengetahui jalan Persekutuan berkenaan ditutup satu kecuaian yang wajar dipersalahkan kepada mangsa?
Siapa sebenarnya cuai? Kementerian Kerja Raya (KKR) memberitahu pihaknya ada memasang papan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kemalangan namun ia dialihkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Malah, KKR sendiri meminta umum membantu jika mengetahui pihak yang bertindak mengangkut papan tanda amaran dan penghadang konkrit berkenaan.
Jika KKR tidak mengetahui bila dan oleh siapa penghadang konkrit dialihkan, apakah prosedur pemantauan keselamatan di kawasan berisiko tinggi seperti ini? Apatah lagi pada musim tengkujuh sekarang.
Adakah pengalihan penghadang konkrit itu direkodkan secara rasmi dan jika ya, di mana rekod tersebut?
Sekiranya tiada rekod, adakah kegagalan dokumentasi ini satu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) KKR sendiri?
Siapakah pihak yang bertanggungjawab memastikan penghadang konkrit kekal di lokasi asal tanpa gangguan?
Adakah KKR mempunyai jadual pemeriksaan berkala dan berapa kerap pemeriksaan sepatutnya dilakukan?
Jika pemeriksaan dibuat, bolehkah KKR mendedahkan tarikh pemeriksaan terakhir sebelum tragedi berlaku?
Seandainya pemeriksaan tidak dibuat, apakah justifikasi KKR terhadap kelalaian ini?
Adakah audit keselamatan dalaman telah dijalankan selepas kejadian dan apakah dapatan awalnya?
Tampak ada sesuatu yang tidak kena. Ada pihak gagal menunaikan tanggungjawab mereka. Penghadang konkrit bukan macam penghadang atau kon plastik yang ringan untuk dipindahkan. Ia memerlukan jentera besar dan sejumlah pekerja untuk melakukannya.
Di pihak polis sendiri, tidakkah anggota polis yang mempunyai tugas rutin membuat rondaan perasan papan tanda amaran dan penghadang konkrit sudah tiada lagi di situ?
Tragedi ini tidak boleh ditutup dengan kesimpulan mudah bahawa mangsa ‘cuai’, apatah lagi apabila fakta di lapangan sendiri menafikan dakwaan berkenaan.
Pertanggungjawaban bukan sekadar mencari jawapan paling cepat, tetapi mencari kebenaran yang paling adil.
Jika kegagalan sistem, pemantauan dan penyelenggaraan dibiarkan berlindung di balik tuduhan terhadap mereka yang sudah tiada, maka nyawa Hassan dan Suzaimah bukan sahaja terkorban dalam gaung sedalam 61 meter itu, tetapi juga dalam kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat yang enggan menuntut akauntabiliti.
Tanpa jawapan yang jujur dan telus, tragedi ini tidak akan menjadi yang terakhir. Ia hanya menunggu mangsa seterusnya.
Dalam situasi kebenaran masih kabur, tidak mustahil waris kepada kedua-dua mangsa terpaksa mempertimbangkan tindakan undang-undang sebagai satu-satunya jalan untuk mencari kepastian.
Bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk memastikan fakta diuji secara terbuka, tanggungjawab ditentukan berdasarkan bukti dan kegagalan mana-mana pihak tidak terus dientengkan.
Kadangkala, keadilan untuk yang sudah pergi hanya dapat ditegakkan apabila mereka yang ditinggalkan berani bersuara dan menuntutnya melalui saluran mahkamah.
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd



