Siasat syarikat umrah perdaya 123 mangsa hingga rugi RM1.3 juta

Siasat syarikat umrah perdaya 123 mangsa hingga rugi RM1.3 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan atas kesalahan jenayah terhadap sebuah syarikat yang disyaki memperdayakan 123 mangsa penipuan pakej umrah membabitkan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata syarikat penganjur pakej umrah itu dikesan melakukan jenayah penipuan Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan jenayah pecah amanah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atas mangsa yang membeli pakej umrah yang ditawarkan syarikat.

“Syarikat mengiklankan tawaran pakej umrah ini di pelbagai platform media sosial. Pelanggan yang berminat menghubungi syarikat itu dan diminta hadir ke pejabat urusan mereka untuk urus niaga jual beli pakej yang ditawarkan.

“Apabila hampir waktu untuk menunaikan umrah, perancangan dibatalkan dengan pelbagai alasan, syarikat juga menabur pelbagai janji untuk memulangkan semula pembayaran dibuat dan juga mengatur semula pakej yang ditempah pelanggan,” katanya.

Namun katanya, sehingga kini sebarang tuntutan masih lagi belum dipenuhi oleh syarikat walaupun sudah menerima perintah award Tribunal melalui Tribunal Tuntutan Pengguna.

“Keingkaran syarikat ke atas award yang diberikan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna kepada mangsa adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya ketika sidang media di Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hishamuddin juga berkata, sejak Mac hingga Oktober lalu, mangsa sudah membuat laporan polis tetapi dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Mangsa maklum MOTAC berkuasa untuk mengarahkan syarikat untuk mengembalikan wang bayaran dan juga membatalkan lesen syarikat pelancongan syarikat itu.

“Walaupun begitu mangsa mahukan tindakan jenayah dikenakan ke atas syarikat tersebut kerana perbuatan syarikat yang menipu dan memperdayakan mangsa.

“Ada sebahagian daripada mangsa sudah menerima pengembalian wang dalam bentuk cek post dated (cek tarikh hadapan). Namun begitu, ketika mangsa ingin tunaikan cek tersebut, bank memaklumkan bahawa pembayaran ke atas cek itu diberhentikan,” katanya.

Hishamuddin juga meminta pihak polis serta pihak berkuasa berkaitan supaya menyiasat ke mana perginya wang tempahan pakej umrah mangsa.

“Sebahagian besar sudah melakukan pembayaran penuh kepada syarikat umrah ini. Mangsa juga meminta pihak polis untuk menyiasat aliran wang tempahan digunakan bagi tujuan apa?” katanya.

Sementara itu, mangsa, Sadiaah A Majid, 55, berkata sebelum ini mangsa tidak berani untuk mengatakan diri mereka ditipu.

“Kami sangat berhati-hati dalam berkata-kata kerana ada antara jemaah yang disaman oleh syarikat ini.

“Kami rasa pelik kenapa tidak ada pihak berkuasa yang boleh membela kami. Kami sudah laporkan kepada semua pihak berkuasa. Kami kecewa rasa seolah-olah tidak dibela. Ada di antara mangsa sudah berkumpul di lapangan terbang tetapi penerbangan dibatalkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top