am@hmetro.com.my
Melaka: Polis menyiasat insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki hingga menyebabkan dua cedera termasuk dakwaan penggunaan senjata api di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Melaka Raya 7, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian berlaku jam 4 pagi apabila dua lelaki berusia 20-an dikatakan dipukul oleh sekumpulan lelaki sebelum seorang daripada suspek didakwa melepaskan tembakan.
Sumber berkata, dua mangsa terbabit kemudian membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi memaklumkan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian termasuk dakwaan suspek melepaskan dua das tembakan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat percanggahan dalam cerita dilaporkan pengadu berhubung kejadian.
“Tunggulah saya bagi statement (kenyataan rasmi).
“Setakat ini tiada pun pengesahan berlaku tembakan,” katanya menerusi WhatsApp kepada media.
Terdahulu, tular gambar pasukan polis termasuk Unit Forensik melakukan siasatan di tempat kejadian hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.
Seorang pengawal keselamatan ketika ditemui di lokasi mendakwa rakannya memberitahu sebelum kejadian berlaku pergaduhan beberapa lelaki, namun enggan bercerita lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



