Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover-up sepanjang proses siasatan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata segala tindakan dan siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan fakta, laporan serta permohonan yang sah, sekali gus menolak dakwaan wujudnya usaha menutup atau memanipulasi kes tersebut.
Artikel lain: Dua kali tolak bedah siasat, ibu Zara Qairina mahu segerakan pengebumian – Saifuddin Nasution
Siasatan kes Zara Qairina telus
Menurutnya, tuduhan berhubung penutupan kes merupakan satu dakwaan sangat berat yang tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa sejak dari awal siasatan.
“Dari awal hinggalah proses bedah siasat dibuat dan siasatan lanjutan, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Komitmen kepada keadilan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya lagi, kes berkenaan amat serius kerana melibatkan kehilangan nyawa seorang pelajar berusia 13 tahun, justeru siasatan perlu dilakukan secara profesional, telus dan berpandukan bukti yang sahih mengikut peruntukan undang-undang.
Terdahulu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Sumber: Bernama