am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Pengangkutan perlu bersikap adil dan melakukan siasatan terhadap mana-mana insiden kegagalan kemudahan aerotrain berfungsi dengan baik, kerana ia membabitkan kompaun yang tinggi.
Ia berikutan, terdapat insiden kegagalan pengoperasian aerotrain bukan disebabkan masalah teknikal sebaliknya akibat sikap pengguna yang menahan pintu koc sehingga menyebabkan gangguan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penalti yang boleh dikenakan boleh mencecah sehingga RM250,000 bagi setiap insiden.
Beliau berkata, sudah tentu, tindakan telah diambil dengan membuka kertas siasatan, tetapi, tindakan punitif hanya boleh diambil selepas siasatan selesai berdasarkan setiap kejadian tertentu.
“Seperti yang saya sebutkan, penalti sangat berat… RM250,000 maksimum pada setiap kejadian tertentu.
“Kita perlu melakukan siasatan kerana perlu bersikap adil kepada MAHB kerana bukan semua kejadian berpunca daripada kesilapan teknikal.
“Kadang-kadang, seperti yang dikatakan oleh MAHB juga, beberapa kejadian atau beberapa gangguan adalah disebabkan oleh penumpang yang berusaha untuk menahan pintu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini, hari ini.
Terbaharu, perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terhenti awal pagi Selasa, menyebabkan penumpang dan pengembara yang menggunakan kemudahan itu terpaksa meneruskan perjalanan dengan berjalan di atas trek.
Insiden terbaharu itu turut mengundang reaksi pelbagai pihak.
Sejak beroperasi semula Julai lalu, Loke berkata, pengoperasian aerotrain mencapai 99 peratus, namun pihaknya belum berpuas hati kerana banyak gangguan terhadap kemudahan itu dalam tempoh empat bulan ini.
Pada masa sama, katanya, beliau juga sudah mengarahkan MAHB untuk tidak menghentikan perkhidmatan bas perantara.
“Sejak awal saya sudah kata kepada MAHB walaupun aerotrain sudah kembali pulih tetapi bas perantara itu tak boleh diberhentikan kerana perlu ada satu pelan sandaran.
“Apa saja gangguan perkhidmatan bas perantara mesti diaktifkan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan projek aerotrain yang kerap berdepan gangguan, Loke berkata, beliau tidak boleh campur tangan.
Katanya, ia adalah urusan suruhanjaya itu dan terpulang kepadanya untuk menyiasat mana-mana pihak jika ada laporan mengenainya.
“Kalau ada laporan sudah tentu bidang kuasa mereka ataupun tanggungjawab mereka untuk menyiasat mana-mana pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




