Siasatan terhadap isu pelaburan Khazanah dan konflik Nafas, PM tegas tak masuk campur

Siasatan terhadap isu pelaburan Khazanah dan konflik Nafas, PM tegas tak masuk campur

am@hmetro.com.my

Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak sesekali menghalang atau masuk campur berhubung siasatan terhadap Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana salah laku yang sudah dibuktikan ke muka pengadilan.

Katanya, bukan saja SPRM bahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga jika ada mengesan mana-mana kesalahan perlu bertindak tanpa mengambil kira kedudukan mahupun status individu itu.

“Sama ada kes itu dulu atau sekarang pun, jika ada (salah laku) laporkan kepada Perdana Menteri, pengerusi dan sebagainya.

“Kalau salah, siasat. Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum. Saya tidak peduli. (Dengan cara ini) barulah kita boleh perintah dengan adil,” katanya ketika berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun Khazanah dipengerusikan oleh dirinya sendiri, namun beliau tidak akan berkompromi jika terbukti wujud sebarang salah laku dalam syarikat terbabit.

SPRM dilaporkan sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Difahamkan, siasatan itu dijalankan susulan jumlah kerugian yang direkodkan oleh kedua-dua agensi berkaitan kerajaan itu terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau juga tidak mengganggu siasatan yang dijalankan terhadap Nafas berikutan penggantungan perlembagaan pertubuhan berkenaan.

“Itu terpulang kepada siasatan. Apa yang kita nak, yang ambil, yang dapat baja, benih ini semua… kita nak supaya harga patut. Yang import, cara betul. Itu saja.

“Saya dah lama marah pada kartel ini. Kartel ini, ada kelompok kecil ‘jaga’ dia, bukan jaga rakyat. jadi kena faham mengapa siasatan dilakukan.

“Siapa saja tanpa kecuali. Ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk. Tak kira dia jawatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ke syarikat swasta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top