Sibuk buat kuih mua lau, kesanih

Sibuk buat kuih mua lau, kesanih

Kota Bharu: Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, sebuah kilang kecil di tepi Pasar Gok Kapur, Kampung Cina, di sini, kembali hidup dengan rutin pembuatan kuih tradisional yang diwarisi sejak lebih 100 tahun lalu, meskipun namanya kian asing dalam kalangan generasi muda.

Dari ruang kerja sederhana itu, kuih mua lau dan biskut kesanih atau sanih dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun, dengan keunikan tersendiri apabila keseluruhan proses pembuatannya digerakkan oleh pekerja Melayu dalam suasana kerja yang penuh harmoni.

Nur Mawardah Mohd Yusof, 25, antara pekerja berpengalaman di kilang itu berkata, berbeza dengan kuih bakul yang sinonim dengan sambutan perayaan kaum Cina itu, mua lau dan kesanih kekal sebagai hidangan eksklusif yang hanya dikenali pelanggan setia serta jarang dijumpai di pasaran.

“Mua lau juga dikenali sebagai kuih lengo atau bijan dalam loghat Kelantan dan antara kuih yang paling banyak dihasilkan di sini kerana keunikan rasanya, namun tidak ramai yang tahu sebenarnya kuih ini ialah hidangan tradisi masyarakat Cina Kelantan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nur Mawardah yang bekerja sambilan di kilang itu sejak remaja berkata, pengeluaran mua lau dan biskut kesanih dihadkan kepada kira-kira 2,000 bungkusan walaupun permintaan meningkat menjelang perayaan bagi memastikan kualiti produk sentiasa terpelihara.

“Kami bekerja di tempat lain dan hanya dipanggil bekerja secara sambilan kira-kira tiga bulan sebelum Tahun Baharu Cina yang merupakan tempoh paling sibuk, dari 8 pagi hingga 5 petang.

“Kami seronok bekerja di sini kerana hubungan yang baik seperti keluarga, suasana kerja juga santai,” katanya.

Sementara itu, pemilik kilang, Lee Su Wei, 46, berkata, perniagaan itu diasaskan mendiang bapa saudaranya, Lee Ghee Bee dan kini diwarisi generasi ketiga, dengan pembuatan kuih hanya dilakukan untuk sambutan Tahun Baharu Cina secara tradisional bagi mengekalkan keaslian serta nilai eksklusifnya.

Kuih mua lau, katanya, diperbuat daripada beras pulut, ubi keladi putih yang dibekalkan dari Thailand, pati padi, bijan dan minyak yang melalui proses pembuatan yang agak panjang dan memerlukan ketelitian.

Biskut kesanih pula katanya, ialah biskut telur berbentuk empat segi yang diperbuat daripada kanji, santan segar dan kuning telur.

Katanya, walaupun kilang itu beroperasi secara bermusim, permintaan diterima bukan sahaja dari Kelantan, malah dari luar negeri termasuk Johor, selain Singapura dan Brunei.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top