Usahawan, Asyraf Khalid tampil memohon maaf secara terbuka kepada pelakon, Fazura berhubung tindakan mencampuri urusan peribadi aktres itu sebelum ini.
Menurut Asyraf atau nama penuhnya, Muhammad Asyraf Khalid, permohonan maaf itu dibuat secara peribadi ketika menghadiri majlis pertunangan ahli politik, Syed Saddiq dan penyanyi, Bella Astillah semalam.
“Di majlis pertunangan Saddiq dan Bella, saya duduk berdekatan dengan Fazura.
“Ramai yang tahu, beberapa tahun lalu, saya pernah melakukan kesilapan. Ketika Fazura sedang melalui isu peribadi, saya telah membuat komen yang tidak sepatutnya dan tidak kena pada tempatnya. Saya mencampuri sesuatu yang sejak awal bukan urusan saya,” katanya melalui hantaran di laman Threads.

Asyraf berkata, walaupun tiada masalah untuk duduk berdekatan dengan Fazura, beliau merasakan pelakon filem Gol & Gincu itu mungkin masih terkesan dengan kenyataan beliau sebelum ini.
“Ketika Bella bertanya sama ada kami selesa duduk bersama, saya katakan sudah tentu tiada masalah dari pihak saya. Apabila Fazura tiba, kami saling bersalaman dan sempat berbual seketika.
“Saya dapat rasakan ini bukan sekadar tentang warganet. Mungkin dia juga terkesan dengan apa yang saya katakan, lebih-lebih lagi kerana kami sudah saling mengenali sebelum semua ini berlaku,” katanya.

Beliau seterusnya memohon maaf secara langsung kepada Fazura.
“Jadi apabila saya ada kesempatan, saya berkata kepadanya, ‘Faz, saya ingin memohon maaf atas apa yang saya katakan. Saya tidak sepatutnya memberi komen atau mencampuri urusan orang lain.’
“Dia mendengar dan berkata menerima permohonan maaf saya. Selepas itu, kami meneruskan perbualan tentang kehidupan dan pelbagai perkara lain. Dia sangat baik dan itu benar-benar menggambarkan karakter dirinya,” katanya.
Artikel lain: Ulas isu pergolakan Fattah-Fazura, Tya Arifin & Asyraf Khalid diminta jaga rumah tangga sendiri


Asyraf juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan kenyataannya sebelum ini serta berjanji untuk menjadi individu lebih baik.
“Kepada sesiapa yang terkesan dengan apa yang saya katakan dahulu, saya memohon maaf dengan ikhlas. Saya belajar dari kesilapan dan telah berubah,” ujarnya.
Sebelum ini, Asyraf bersama isterinya, Tya Arifin menerima kecaman warganet selepas didakwa mengupas isu pergolakan rumah tangga antara Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin dalam satu sesi podcast.
Sumber: Threads asyrafkhalid




