Sibuk ‘shooting’ drama, Intan Ladyana geram dituduh bulan madu dengan suami

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, isu merentas negeri demi tujuan berbulan madu telah tular di media sosial.

Ada sahaja selebriti yang terkait dengan perkara tersebut sedangkan sempadan negeri belum boleh dibuka untuk tujuan ‘suka-suka’ kecuali disebabkan pekerjaan.

Atas sebab itu, ada sesetengah netizen sengaja mengaitkan beberapa insiden selebriti merentas negeri sebagai modal untuk meraih perhatian dengan menuduh selebriti lain melakukan hal yang sama.

Salah seorang artis yang namanya ‘dipetik’  oleh netizen adalah Intan Ladyana apabila gambarnya bersama suami, Harris Alif menjadi bualan kerana dikatakan sedang berbulan madu di Langkawi.

Menjawab tuduhan akaun Twitter tersebut, Intan telah meluahkan rasa geram dengan mengatakan tuduhan berkenaan tidak tepat dan orang yang menyebarkannya tidak melakukan semakan dahulu sebelum menuduh sesuka hati.

Menurut Intan, dia membawa suaminya sekali ke Langkawi bagi membantu menguruskan hal-hal penting sepanjang pengambaran drama di sana. Jadi, dia dan Harris sama sekali tidak berbulan madu seperti yang dituduh netizen.

Di ruangan Instagram pelakon wanita itu juga turut menunjukkan dirinya berada di lokasi pengambaran di beberapa pusat peranginan sambil menyertakan hastang tajuk drama yang sedang dijayakan olehnya.

Dia turut menjelaskan bahawa tujuannya merentas negeri adalah untuk bekerja dan bukan berbulan madu seperti yang didakwa.

Intan Ladyana dan Harris Alif telah selamat bernikah pada 5 Februari 2021 selepas beberapa bulan menjalin cinta.

Majlis pernikahan mereka berjalan secara ringkas berikutan ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasa di beberapa kawasan di Malaysia memandangkan kes peningkatan pandemik yang agak tinggi ketika itu.

Sumber: Intan Ladyana, Twitter