SIC tiada kuasa tetapkan harga tiket

SIC tiada kuasa tetapkan harga tiket

saifulaffendy@hmetro.com.my

Sepang: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan segala urusan berkaitan penetapan harga dan jualan tiket bagi Grand Prix (GP) Bahrain yang bakal berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober depan adalah di bawah kuasa penuh pihak kerajaan Bahrain.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan harga tiket kerana semua hasil jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada Bahrain.

“Kami masih dalam fasa perbincangan. Setakat apa yang saya faham daripada perbincangan awal, semua hasil jualan tiket akan dikembalikan kepada Bahrain. Jadi kita tidak mempunyai kuasa mutlak,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Azhan, beliau memahami harapan peminat tempatan yang mahu menikmati harga tiket lebih mampu milik, namun keputusan muktamad tetap bergantung kepada penganjur dari Bahrain.

“Saya tahu ramai netizen mahukan tiket murah atau atau ‘tiket Madani’. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan harga istimewa, mungkin harga khas untuk pemilik MyKad, tetapi keputusan akhir adalah di tangan Bahrain,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Bahrain akan menerima 100 peratus hasil keuntungan daripada penjualan tiket perlumbaan itu.

“Mungkin kita juga akan menjual tiket itu, bergantung kepada rundingan dengan pihak Bahrain, tetapi semua hasil jualan kembali kepada Bahrain,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhan menjangkakan jualan tiket akan bermula seawal minggu pertama Ogos sekiranya semua rundingan dengan pihak Bahrain dimuktamadkan.

Perlumbaan berprestij itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Penganjuran berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top