Sidang DUN Johor esok dijangka jadi tumpuan

 Sidang DUN Johor esok dijangka jadi tumpuan

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membuka tirainya esok dijangka menjadi tumpuan berikutan negeri pertama mengadakannya selepas Parlimen bersidang 26 Julai lalu.

Ia susulan polemik politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat pusat, yang dijangka memberi kesan pada persidangan DUN Johor.

Tindakan kerajaan Johor diterajui UMNO yang terus mengambil sikap berdiam diri walaupun BERSATU Johor mendesak supaya pendirian jelas diumumkan, sama ada terus menyokong PN atau mengikut ketetapan UMNO pusat, juga dilihat mampu memberi kesan kepada sidang DUN yang selama ini berlangsung tenang.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor mencuri tumpuan apabila dilaporkan meminta keabsahannya sebagai Menteri Besar dibangkitkan dan dibincangkan ketika persidangan berlangsung.

Mengulas mengenai sama ada berlaku kejutan ketika persidangan DUN Johor esok, Ahli Jawatankuasa BERSATU Johor, Datuk Osman Sapian, mengambil pendirian untuk tidak mendahului parti.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, BERSATU Johor mempunyai strategi tertentu namun ia tidak boleh diumumkan secara terbuka.

“Itu (strategi BERSATU) kita tak boleh bincangkan secara terbuka. Kita ada strategi tersendiri.

“Pastinya strategi ini memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di peringkat pusat.

“Apa pun keputusan BERSATU Johor perlu mendapat restu dan kelulusan kepemimpinan tertinggi parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Selagi tiada restu dan kelulusan presiden, selagi itu tiada kenyataan mengenainya akan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan DUN Johor bersidang mulai esok sehingga 22 Ogos.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, dilaporkan bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (sembilan) dan PKR pula (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas BERSATU memberikan sokongan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top