KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula Isnin ini dengan tumpuan terarah kepada pembentangan beberapa rang undang-undang (RUU) utama, termasuk RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang akan dibentang semula.
Persidangan yang berlangsung sehingga 16 Julai itu, antara lain turut dijadual membentangkan semula RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Kedua-dua RUU berkenaan sebelum ini telah dibentang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang lepas.
Bagaimana pun, RUU berkaitan had jawatan Perdana Menteri tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, manakala RUU peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, telah dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat, untuk memberikan ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalus dan menelitinya.
Turut menjadi perhatian ialah RUU Jenayah Siber 2026, selain RUU (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dijadual dibentangkan pada hari pertama persidangan dan akan dibahaskan pada esoknya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata cadangan pindaan yang merangkumi 11 skop pindaan dan 42 fasal itu, memfokuskan tindakan terhadap kegiatan lumba haram yang masih menjadi ancaman serius kepada keselamatan pengguna jalan raya.
“Pindaan itu turut merangkumi langkah lebih tegas, bagi membanteras kegiatan tonto serta memperkukuh aspek penguatkuasaan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang yang lebih berkesan,” katanya baru-baru ini.
Selain itu, persidangan yang berlangsung selama 16 hari itu turut dijangka tertumpu kepada perbincangan pelbagai isu, khususnya impak krisis bekalan tenaga global terhadap Malaysia susulan konflik berterusan di Asia Barat, yang telah menjejaskan rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menjalankan fungsi Dewan Rakyat menerusi perbahasan yang tertib, matang dan berlandaskan Peraturan Mesyuarat walaupun berdepan dinamika situasi politik ketika ini.
Beliau berkata, Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang mesti melaksanakan peranan masing-masing, memberikan tumpuan kepada isu-isu kepentingan rakyat dan negara, selain memastikan mutu perbahasan yang tinggi demi memperkukuhkan demokrasi berkualiti serta membantu menghasilkan dasar yang lebih baik.
“Dewan Rakyat merupakan institusi tertinggi perundangan negara…setiap perbahasan seharusnya berasaskan fakta, data dan cadangan yang membina, bukannya dipengaruhi oleh sentimen atau polemik yang tidak membawa penyelesaian.
“Rakyat mengharapkan wakil yang mereka pilih membincangkan isu kos sara hidup, pendidikan, kesihatan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat secara serius dan bertanggungjawab.” katanya kepada Bernama.
Mengulas berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung serentak dengan persidangan Dewan Rakyat, Johari turut mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan komitmen tinggi terhadap kehadiran ke Parlimen, selain tidak menyalahguna sesi persidangan untuk berpolitik.
Beliau berkata walaupun Ahli Parlimen mempunyai pelbagai komitmen politik di luar Dewan Rakyat, kehadiran serta penyertaan mereka dalam persidangan merupakan tanggungjawab utama yang tidak boleh diketepikan.
“Saya percaya setiap Ahli Parlimen memahami tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat. Dewan Rakyat adalah tempat untuk membincangkan dasar, undang-undang dan isu-isu kepentingan negara.
“Oleh itu, saya berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat memberikan komitmen sewajarnya terhadap perjalanan sidang dan memanfaatkan persidangan ini, untuk mengutarakan pandangan secara bertanggungjawab serta mematuhi Peraturan Mesyuarat,” katanya.
Selain persidangan Dewan Rakyat, Dewan Negara juga turut akan memulakan persidangan selama 10 hari bermula 20 Julai hingga 4 Ogos.- Bernama



