Petaling Jaya: Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini telah membawakan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ (Inclusivity and Sustainability) yang menumpukan kepada transformasi ekonomi dan digital. Namun, tumpuan awam tidak hanya tertumpu kepada agenda ekonomi atau pelan tindakan ASEAN bahkan yang lebih hangat diperdebatkan ialah kehadiran Presiden AS Donald Trump atas jemputan rasmi Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Namun persoalannya bukan tentang siapa yang hadir namun bagaimana kehadiran itu menguji prinsip dasar luar Malaysia yang pro-Palestin dan keperluan pragmatik ekonomi.
Antara perkara yang merisaukan sebahagian rakyat Malaysia ialah jemputan rasmi daripada Dato’ Seri Anwar kepada Presiden AS Trump untuk datang ke Malaysia. Ramai rakyat menilai kehadiran Trump sebagai tidak wajar berikutan pendiriannya terhadap Israel. Hal ini boleh dilihat melalui beberapa himpunan protes antaranya di Dataran Merdeka pada pagi Ahad, 26 Oktober 2025 dan himpunan ‘Trump Tidak Diterima di Malaysia’ yang merupakan himpunan kedua diadakan di sebuah tapak parkir di Jalan Ampang pada petang 26 Oktober 2025. Protes yang diadakan di Dataran Merdeka dan Jalan Ampang bukan sekadar ekspresi ketidakpuasan tetapi manifestasi konflik nilai antara ideologi solidariti Islam yang dipegang oleh sebahagian rakyat dengan keputusan pragmatik kerajaan untuk berdiplomasi dengan kuasa besar global yang seringkali dianggap sebagai penentu polisi ekonomi serantau. Namun, analisis geopolitik menunjukkan kehadiran beliau mungkin membuka semula ruang rundingan perdagangan yang tidak boleh diabaikan oleh Malaysia. Dato’ Seri Anwar menjemput Presiden Trump untuk datang ke Malaysia bagi membincangkan masa depan ekonomi sejagat yang secara tidak langsung mampu memajukan negara Malaysia. Dalam dunia yang semakin saling bergantung, Malaysia perlu menyesuaikan diplomasi luar negara dengan prinsip keseimbangan di mana pegangan Malaysia tidak terlalu idealistik sehingga kehilangan peluang dan tidak terlalu pragmatik sehingga menggadaikan prinsip.
Selain itu, terdapat juga sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mengkritik perilaku Perdana Menteri Malaysia sebagai tidak tegas terutamanya ketika menyambut ketibaan Presiden AS dengan hamparan permaidani merah di KLIA dan disambut meriah dengan tarian daripada sekumpulan penari tradisional. Tambahan pula, tindakan Dato’ Seri Anwar yang dilihat turut menari bersama Presiden Trump menimbulkan kekecewaan dalam kalangan sebahagian masyarakat. Kekecewaan sebahagian masyarakat terhadap sambutan permaidani merah dan tarian tradisonal mencerminkan jurang pemahaman antara rakyat dan pemimpin. Bagi pengkritik, hal ini merupakan simbol persubahatan dengan rejim Zionis manakala daripada perspektif kerajaan, hal ini merupakan taktik diplomasi awam yang bertujuan mempromosikan citra budaya Malaysia yang penuh dengan kebudayaan dan peradaban sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) untuk faedah ekonomi jangka panjang. Kehadiran Presiden Trump dikatakan mampu memperkukuh ekonomi serantau termasuk membuka pintu gerbang utama ASEAN dalam mempromosikan imej negara kepada pelancong asing.
Kritikan yang paling ketara terhadap lawatan Presiden Trump adalah ketika termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS. Ramai yang menganggap perjanjian ini sebagai berat sebelah dengan banyak kelebihan diberikan kepada Amerika terutamanya apabila kadar tarif produk AS dikurangkan dengan ketara manakala Malaysia pula terikat dengan beberapa syarat tambahan seperti siaran media dan sekatan ekonomi global. Hal ini tidak ubah seperti menjadikan Malaysia tertakluk di bawah kuasa besar dan tidak bebas. Namun, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa perjanjian ini yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tidak menjejaskan kedaulatan negara Malaysia. Beliau berkata sebaliknya Malaysia turut memperoleh keuntungan daripada segi akses pasaran yang lebih baik berbanding sebelum ini. Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim juga menegaskan bahawa perjanjian tersebut dimeterai atas kepentingan pelaburan dan perdagangan negara, bukan tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Pernyataan ini tidaklah salah namun perlu diteliti secara seimbang. Dalam konteks ini, muncul persoalan tentang bagaimana mengekalkan kedaulatan sambil mengoptimumkan hubungan dengan kuasa besar. Mantan Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad mengkritik secara keras perjanjian ini dengan menyatakan kemerdekaan Malaysia sanggup diserahkan kepada kuasa asing hanya untuk nampak hebat. Pandangan beliau merupakan satu pandangan yang masih relevan apabila kita menilai semula hala tuju ekonomi ASEAN 2025.
Sebagai penulis dan rakyat biasa, saya melihat isu ini bukan sekadar persoalan patut atau tidak Presiden Trump datang ke Malaysia namun cara bagaimana Malaysia menangani dan mengawal landskap antarabangsa yang semakin kompleks. Rakyat berhak untuk tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan namun sebagai rakyat, kita juga perlu memahami bahawa diplomasi moden menuntut kebijaksanaan dalam menilai risiko dan peluang. Kehadiran Trump tidak semestinya dilihat sebagai suatu ancaman bahkan boleh menjadi ruang untuk Malaysia menunjukkan kematangan dalam diplomasi. Malaysia harus kekal tegas dalam menyuarakan solidariti terhadap Palestin namun dalam masa yang sama perlu berani menonjolkan diri di pentas global tanpa rasa rendah diri. Akhir kata, hubungan dengan Amerika Syarikat bukanlah pengkhianatan kepada dunia Islam malah sebaliknya menjadi saluran untuk membawa suara dunia Islam ke meja perbincangan yang lebih besar.
Oleh: Nur Hazrina Hanim binti Muhammad Azlee
Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
hazrinaazlee@gmail.com



