Sebanyak 72 sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua hari bermula 27 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
![]()
Sekolah tak tutup sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Fadhlina yang ditemui selepas sesi TownHall AntiBuli #GenerasiTanpaBuli Bersama Wakil Murid Di Bawah KPM di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), menyatakan bahawa sekolah tidak ditutup dan pembelajaran tetap diteruskan namun secara atas talian
“Sekolah tidak ditutup tapi yang dilakukan adalah pelajaran dalam talian. Jadi, pembelajaran akan berlangsung dalam proses PdPR, seperti biasa,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN dijadual berlangsung 2 hari
Difahamkan, sidang kemuncak yang dijadualkan bermula 26 Oktober ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia terbesar di Malaysia setakat ini, dengan kehadiran tokoh berprofil tinggi termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, selain ketua kerajaan negara ASEAN serta rakan dialog lain.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memaklumkan bahawa beliau akan memberi penjelasan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 Siri 3 mengenai projek kritikal tertangguh di Parlimen esok.
“Mengenai laporan itu, esok saya akan jawab di Parlimen. Jadi, saya ingat itu dulu dari segi respon awal.
“Kerana ruang esok adalah ruang untuk setiap negeri menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut,” jelasnya.

Artikel lain: Sidang Kemuncak ASEAN: PM Anwar bayangkan Trump, Jinping akan bertemu
Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan jumlah tertinggi projek kritikal tertangguh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan 46 daripada 157 projek di bawah 18 kementerian masih belum disiapkan sehingga 31 Disember 2024, menurut laporan LKAN tersebut.
Sumber: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)





