Sikap ‘abang long’ ketua parti ganggu kerjasama tiga parti – Utusan Digital

Sikap ‘abang long’ ketua parti ganggu kerjasama tiga parti – Utusan Digital

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan sikap abang long seorang ketua parti telah ‘menggagalkan’ perbincangan pasukan perunding untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahmad Samsuri yang terlibat dalam rundingan itu berkata, individu berkenaan akhirnya berkeras mahukan saingan tiga penjuru walaupun persetujuan untuk bekerjasama sudah dicapai antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi dua pertemuan yang dibuat.

Katanya, dalam pertemuan pertama pada 27 Oktober lalu, perbincangan untuk bekerjasama berjaya menemukan jalan penyelesaian membabitkan lima wakil daripada UMNO manakala Pas dan Bersatu (dua wakil).

“Saya kena sebutkan pertemuan pertama itu mendapat mandat ketua parti masing-masing dan kali kedua diadakan pada 29 Oktober yang diwakili oleh enam pemimpin UMNO, Pas (dua) dan Bersatu (tiga), malah, beberapa persetujuan dicapai termasuk cadangan ‘pre-election agreement’ turut dirangka untuk kerjasama di PRN Melaka.

“Namun, langit tidak selalu cerah dan pada 3 November pasukan perunding dimaklumkan seorang ketua parti tidak bersetuju bekerjasama. Memang semua kecewa, tetapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama bersama kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri meminta semua pihak agar berlapang dada, ikhlas dan menjauhi sikap abang long yang boleh merosakkan sebarang usaha perbincangan mahu pun perundingan.

Katanya, usaha berunding turut boleh menemui jalan kegagalan jika seseorang bersikap samseng Kampung Dusun seperti watak Sarip Dol dalam filem Seniman Bujang Lapok di samping tamak haloba seperti Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul.

 Ahmad Samsuri berkata, tujuan beliau menyentuh tentang aturan kerjasama politik kepartian dalam ucapan penggulungan itu adalah disebabkan empat faktor iaitu persoalan dibangkitkan kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kepentingan rakyat yang inginkan keharmonian, kelancaran jentera pentadbiran dan kaedah penyampaian yang lebih efektif di samping saling kaitan dengan situasi semasa di peringkat Persekutuan.

“Kita bercakap mengenai penyatuan ummah dan kerjasama politik. Kita semua ada kelemahan, sekiranya tiga parti ini gagal merendahkan ego, kita akan balik kepada asal yang menyaksikan kembalinya sengsara 22 bulan kerajaan scammer. 

“Untuk memastikan kerjasama semua parti Melayu ini boleh berlaku, berdasarkan pengalaman saya sendiri dan rakan-rakan lain, ia tidak mustahil untuk dicapai, kuncinya kena duduk dan berbincang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Scroll to Top