Sikap munafik dalam Perang Fadhahah

Sikap munafik dalam Perang Fadhahah

PERANG Tabuk sebagaimana yang diketahui juga dengan nama Perang Fadhahah (terbongkarnya sikap golongan munafik).

Telah dinyatakan beberapa sikap golongan munafik yang menjadi duri dalam daging sebelum ini kepada Kerajaan Islam Madinah. 

Selain daripada yang telah disenaraikan, boleh kita iktibarkan sikap dan strategi golongan tersebut dalam usaha menyerang Islam ialah: 

1. Mengajak umat Islam untuk tidak melaksanakan ajaran Islam. 

Perkara tersebut begitu jelas dengan hasutan dan kempen golongan munafik supaya tidak menyertai jihad yang diserukan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. 

Adapun dalam konteks semasa kita boleh lihat golongan ini begitu alergik melihat umat Islam yang berusaha melaksanakan dan mempertahankan Islam. 

Mereka akan koyak serta kepanasan apabila melihat ajaran Islam subur di negeri atau negara umat Islam. 

2. Memperkudakan syiar Islam untuk mengelabui strategi mereka. 

Sekembalinya Baginda Rasulullah S.A.W daripada Tabuk, Malaikat Jibrail A.S menyampaikan wahyu bahawa golongan munafik membina masjid bukan kerana perintah Allah atau ketakwaan. 

Akan tetapi tujuan mereka membina masjid yang mendapat dana daripada kerajaan asing (Rom) tersebut bertujuan untuk menimbulkan kekacauan, kekufuran, perpecahan antara orang beriman dan bertujuan untuk menjadi markaz kepada tentera-tentera Rom untuk dapat menyerang Kerajaan Islam dari dalam Madinah. 

Adapun dalam konteks semasa kita dapat lihat golongan yang memusuhi Islam dengan mereka cipta amalan-amalan supaya semangat jihad luntur daripada jiwa umat Islam. 

Begitulah antara sikap dan strategi golongan munafik yang menyerang dan menikam umat Islam dari dalam. 

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada sikap golongan yang memusuhi Islam ini.

IBNU SATIRIN AL BANTHANY – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100061178882702/posts/pfbid02k6hmaJeWSGWGHzbyZeKYk15m9oznPdZXXK7Mvqu72vJjecPvNQanmAVh8f18Qd6Yl/?sfnsn=mo&mibextid=ktaAd4 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Advertisement

Scroll to Top