Sikit-sikit, lama-lama kena tangkap juga akhirnya

Sikit-sikit, lama-lama kena tangkap juga akhirnya

am@hmetro.com.my

Tawau: Guna taktik menyeludup barang kawalan ke negara jiran dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ini antara taktik sindiket yang dikesan menggunakan bot kargo tempatan bagi membawa keluar petrol susbsidi tempatan melalui kawasan perairan di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menahan bot kargo itu pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas jam 10.10 pagi.

“Siasatan awal mendapati bot terbabit dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun namun gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah.

“Hasil pemeriksaan menemui 40 gelen petrol dianggarkan seberat 1,200 liter serta tiga unit tong gas petroleum cecair (LPG) dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit,” katanya semalam.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, modus operandi suspek adalah dengan membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, barang rampasan termasuk bot bersama enjin keseluruhan dianggarkan berjumlah RM46,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus diperketat khususnya di perairan Zon Maritim Tawau yang dikenal pasti sebagai antara laluan utama rentas sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top