am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Seorang patah kaki kanan manakala dua lagi cedera ringan dalam insiden letupan silinder gas di sebuah kilang pembuatan dan penyelesaian komponen elektronik di Lebuh Kampung Jawa, Zon Perdagangan Bebas Fasa 3, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan memindahkan silinder gas sebelum ia tiba-tiba meletup.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Abdul Manap Kadir berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik panggilan diterima pada jam 1.16 tengah hari.
Katanya, pihaknya difahamkan oleh pekerja kilang mengenai silinder gas jenis FM 200 meletup menyebabkan tiga cedera.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Kesemua adalah pekerja di kilang berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mangsa yang mengalami patah kaki kanan ialah Ibrahim Shaffie, 49, manakala Mohamad Nasrin Harun, 38, dan Mohd Radzi Othman, 40, masing-masing cedera ringan.
Abdul Manap berkata, insiden letupan itu tidak mencetuskan kebakaran.
“Pasukan penyelamat juga bertindak melakukan kerja pemantauan bagi memastikan sekitar kawasan benar-benar selamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




