Simbah asid: Pekerja kilang getah direman lima hari

Simbah asid: Pekerja kilang getah direman lima hari

BACHOK: Seorang pekerja kilang getah ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas pemilik spa dan salon sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Beris Kubor Besar, di sini pada Sabtu lalu.

Perintah reman yang bermula hari ini  dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi.

Terdahulu, suspek yang memakai tudung, baju berwarna biru gelap dan seluar sukan tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.20 pagi dengan menaiki kereta polis.

Tahanan reman itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Terdahulu, seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang getah dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas pemilik spa dan salon berkenaan.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai pada pukul 4 petang.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu, seorang pemilik sebuah spa dan salon kecantikan dilaporkan cedera pada lengan selepas disimbah cecair yang dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di Beris Kubur Besar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa yang masih memakai telekung selepas menunai solat maghrib berada di dalam kedainya bersama seorang anak. – UTUSAN

Scroll to Top