nurul_husn@hmetro.com.my
JAM tangan bukan sekadar aksesori penting dalam membantu pemakainya mengetahui masa, ia juga boleh menjadi simbol kepada ikatan perhubungan.
Malah, dalam sesetengah budaya terutama dalam masyarakat Cina di Asia Tenggara, menukar jam tangan juga adalah tanda komitmen pasangan dalam menjalani hidup bersama.
Fungsi jam yang menunjukkan masa memberi makna hubungan yang berpanjangan dalam perkahwinan.
Justeru, seperti pemilihan dalam pemakaian barangan kemas, pemilihan jam tangan juga penting.
Berikut beberapa langkah penting perlu diambil dalam memilih jam sesuai baik untuk diri sendiri atau sebagai tanda ikatan kepada pasangan.
1. Mengambil kira saiz dan kadar pergelangan tangan
Cara betul untuk dapatkan ukuran pergelangan tangan ialah menggunakan pita pengukur yang fleksibel atau seutas tali dan pembaris untuk menentukan lilitan pergelangan tangan.
Biasanya diameter untuk pergelangan tangan yang lebih kecil disyorkan 38 milimeter (mm) atau lebih kecil, untuk sederhana biasanya sesuai dengan ukuran 39mm hingga 42mm, manakala pergelangan tangan yang lebih besar boleh mengenakan ukuran 43mm dan lebih besar.
2. Gaya dan fungsi
Gaya biasanya mengikut kepada rutin dan cita rasa.
Jika individu itu kerap mengenakan pakaian formal, rekaan jam tangan lebih klasik, lebih sesuai.
Selain itu, jika individu itu lebih banyak kerja di lapangan dan aktif, pilihan lebih kasual dirasakan bersesuaian dengan keperluan.
Mekanikal diguna untuk menggerakkan jam, contohnya pergerakan kuarza (menggunakan tenaga bateri) lebih moden berbanding pergerakan mekanikal yang lebih klasik.
3. Bajet
Tetapkan julat harga tertentu berdasarkan kemampuan dan tujuan jam itu dibeli.
Contohnya, jam sebagai ikatan perkahwinan, biasanya nilainya lebih tinggi berbanding pemakaian biasa.
Dapatkan mengikut kualiti dan kesesuaian dengan ciri atau gaya hidup pemakai.
4. Ciri-ciri istimewa
Tidak dinafikan, ada segelintir pemilik aksesori ini membeli berdasarkan nilai dan nilai estetika menjadikannya buruan pengumpul koleksi.
Terdapat koleksi terhad menjadikan sesetengah jam itu bernilai tinggi dan ia perlu mendapat rujukan pakar.
Ciri-ciri istimewa lain, kini ada nilai tambah pada teknologi jam juga iaitu selain berfungsi sebagai penunjuk masa, jam tangan sebagai pembantu peribadi yang mana memiliki fungsi pemberitahuan, penjejakan kecergasan dan GPS dan banyak lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd