Kuala Lumpur: Sime Darby Plantation Bhd sedang mengkaji tindakan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) terhadapnya untuk lebih memahami potensi kesannya.
Kumpulan perladangan itu berkata, siaran berita CBP mengenai perkara itu tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk membolehkannya menangani secara serius tuduhan yang mencetuskan tindakan berkenaan.
“Walaupun begitu, kami berharap dapat menerima maklumat yang relevan dan bekerjasama dengan CBP, untuk mengatasi kebimbangan yang ditimbulkan mereka dan menyelesaikan masalah ini dengan cepat,” kata Sime Darby Plantation dalam satu kenyataan.
Sime Darby Plantation berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan Liberty Shared (LS) dan organisasi lain untuk mendapatkan maklumat mengenai aduan awal yang memungkinkannya untuk mengambil tindakan pembetulan yang sesuai seperti yang diperlukan.
Ia menegaskan komitmennya untuk memerangi buruh paksa dan telah melaksanakan dasar yang tegas untuk melindungi hak pekerja.
“Usaha ini merangkumi pelantikan PricewaterhouseCoopers Consulting Associates pada 19 Oktober 2020 untuk membantu kami dalam komitmen peningkatan berterusan kami.
“Hubungan kami dengan pelbagai pihak berkepentingan telah dimulai sejak Sime Darby Plantation menyedari petisyen yang dikemukakan oleh LS kepada CBP pada Julai 2020, dan secara berkala memberi perkembangan terkini kepada pihak berkepentingan mengenai semua langkah dalaman yang diambil untuk mengatasi jurang dan bidang berpotensi yang menjadi perhatian, seperti yang dikenal pasti oleh proses audit dalaman kami sendiri,” katanya.
AS mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation dan anak syarikatnya susulan siasatan yang dijalankan oleh CBP.
Sekatan itu dibuat susulan petisyen yang difailkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan firma guaman selepas mendapati wujud unsur buruh paksa di sektor perladangan di Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Eksekutif CBP, Ana Hinojosa, siasatan yang dijalankan menemui petanda buruh paksa termasuk keganasan fizikal dan seksual, kawalan pergerakan, intimidasi dan ugutan, penahanan gaji dan kerja lebih masa yang berlebihan.
Sumber- Berita Harian
Malay News
National Desk



