Madrid: Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi mengecewakan pasukannya selepas rekod tanpa kalah di LaLiga musnah dengan kekalahan 0-1 di tangan Real Betis.
Atletico gagal bangkit selepas gol sendiri dari Jose Maria Gimenez pada minit keempat dan mensia-siakan beberapa peluang yang mereka cipta dalam perlawanan yang dipenuhi dengan kesilapan, di mana Simeone menyalahkan dirinya sendiri.
“Saya tidak mempersiapkan perlawanan ini dengan baik. Saya bertanggungjawab atas pelan yang tidak berfungsi,” kata Simeone kepada wartawan dalam satu sidang media.
“Pertama sekali, saya perlu mengakui, kami mempunyai kerja yang perlu dilakukan dan perkara yang perlu diperbaiki. Saya tidak menjangkakan apa-apa yang berbeza. Pemain baru perlu terus menyesuaikan diri, dan saya perlu mengeluarkan lebih banyak daripada kekuatan mereka.”
Betis berusaha dengan gigih untuk menambah jaringan, mengeksploitasi kelemahan Atletico, selepas mereka tewas 1-3 kepada Lille dalam Liga Juara-Juara.
“Betis adalah pasukan yang kompetitif dan memperbaiki prestasi mereka seperti yang ditunjukkan hari ini, mereka mengatasi kami. Kami jelas tidak dapat bermain seperti yang kami inginkan,” kata Simeone.
“Ini juga berlaku kepada kami ketika menentang Lille minggu lalu, kami ketinggalan dalam permainan dan itu tidak membenarkan kami untuk menyamakan kedudukan.
“Sebagai seorang jurulatih, saya perlu menyelesaikan situasi ini terlebih dahulu dan mempunyai idea yang jelas (mengenai taktik) supaya pemain dapat beraksi seperti yang saya kehendaki,” tambahnya.
Kekalahan pertama Atletico musim ini meletakkan mereka di tempat keempat dalam liga dengan 20 mata, dua mata di hadapan Betis dan sepuluh mata di belakang pendahulu, Barcelona.
Mereka akan berdepan UE Vic dalam Copa del Rey Jumaat ini sebelum menanti kunjungan Las Palmas tiga hari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




