Paris: Simone Biles berkata pengkritik yang mengkritiknya kerana menarik diri dari Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu berikutan masalah kesihatan mental didiamkan dengan kejayaannya memenangi tiga pingat emas setakat ini di Olimpik Paris.
Atlet berusia 27 tahun itu tiba di ibu negara Perancis sebagai gimnas paling lengkap di dunia dan dia sudah memenangi pingat emas dalam semua tiga acara wanita yang dipertandingkan setakat ini iaitu acara berpasukan, all-around dan melombol.
Dia kini memiliki 10 pingat Olimpik secara keseluruhan dengan tujuh daripadanya adalah emas.
“Saya sangat teruja untuk bertanding lagi. Sudah tentu komen negatif selama ini agak menyakitkan,” katanya selepas mendominasi acara melombol semalam.
“Saya masih dalam proses menjalani terapi untuk pastikan kesihatan mental saya berada dalam keadaan baik.
“Olimpik adalah proses yang sangat meletihkan bagi setiap atlet, dan ia membabitkan beberapa hari pertandingan, jadi anda perlu berada di tahap terbaik dari sudut mental serta fizikal.
“Selagi kita dapat melakukannya, maka segalanya baik-baik sahaja,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




