Simpan diesel melebihi had, premis logistik diserbu

Simpan diesel melebihi had, premis logistik diserbu

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas pelbagai aset termasuk 88,460 liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.27 juta dalam operasi di sebuah premis logistik di Jalan Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Rampasan menerusi Op Taring Landai pada 11.30 pagi itu membabitkan minyak diesel bernilai RM457,338.20, dua lori serta beberapa tangki simpanan.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi itu dijalankan Unit Risik Marin (URM) Johor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, hasil maklumat awam.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menemukan minyak diesel yang disimpan di dalam lori tangki, tangki jenis ‘skid’ dan tangki jenis ‘square’.

“Pemilik premis berusia 35 tahun mempunyai dokumen mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) dengan kuantiti simpanan yang dibenarkan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati jumlah simpanan minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan. Pemilik premis juga gagal mengemukakan buku stok ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azman berkata, antara barang yang dirampas ialah sebuah lori Mitsubishi Fuso berwarna hijau, sebuah lori Isuzu berwarna hijau, tiga tangki skid berkapasiti 20,000 liter setiap satu, dua tangki skid berkapasiti 10,000 liter setiap satu serta sebuah tangki jenis square.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Katanya, PPM Wilayah Dua akan terus mempergiat usaha membanteras penyelewengan minyak bersubsidi bagi mengelakkan kerugian kepada negara serta melindungi kepentingan rakyat.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang bagi membantu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top