Putrajaya: Bandar Simpang Renggam, Kluang dan Mersing di Johor, Dabong di Kelantan serta Lipis dan Raub di Pahang antara 10 bandar menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2026 hari ini.
Turut tersenarai ialah bandar raya Kuala Terengganu, bandar Marang dan Permaisuri di Terengganu serta Ranau, Sabah yang menerima anugerah itu daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata pengukuran Tahap Kebahagiaan Bandar di Malaysia diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Ia memastikan penilaian kebahagiaan bandar adalah lebih komprehensif dan seimbang iaitu pengukuran oleh DOSM mewakili gambaran kesejahteraan rakyat secara menyeluruh di peringkat nasional, negeri dan daerah.
“Pengukuran MURNInets pula melengkapkan analisis dengan mengambil kira pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
MURNInets adalah sistem untuk mengukur dan menilai kemampanan sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui satu set petunjuk bandar yang telah ditetapkan.
Nga berkata berdasarkan laporan Indeks Kebahagiaan Ipsos 2026 yang dikeluarkan 19 Mac lepas, di Malaysia, tahap kebahagiaan yang dilaporkan adalah lebih tinggi daripada purata global iaitu sebanyak 81 peratus berbanding 76 peratus pada 2025.
“Ini bermaksud dasar Kerajaan MADANI mensejahterakan rakyat kini mula membuahkanhasil. Kita akan terus mempertingkatkan payung MADANI untuk melindungi rakyat daripadasegala ketentuan, kacau-bilau dan huru-hara di peringkat global,” katanya.
Seiring dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat, beliau turut berkongsi empat prinsip mudah dalam membina kehidupan yang lebih bahagia antaranya membudayakan amalan mensyukuri nikmat setiap hari dengan memberi fokus kepada apa yang dimiliki, memupuk rasa cukup serta menghargai perkara kecil dalam kehidupan.
“Kita juga perlu kekal positif dan menjauhkan diri daripada elemen negatif serta mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan rehat yang mencukupi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




