Simulasi Little Hajj semai benih iman sejak usia cilik

Simulasi Little Hajj semai benih iman sejak usia cilik

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika kebanyakan pasangan warga emas lain sudah berehat dan bermain dengan cucu di rumah, lain pula kisah suami isteri ini yang mencari kepuasan pada usia emas menerusi penganjuran program simulasi haji buat si cilik dikenali Little Hajj.

Datuk Roslan Nordin dan isterinya, Datin Dr Sabariah Faridah Jamaluddin yang kedua-duanya berusia 62 tahun menggerakkan inisiatif itu sejak sedekad lalu menerusi syarikat diusahakan mereka iaitu Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB).

Sepanjang tempoh itu, lebih 70,000 kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun mendapat manfaatnya dan berimpak tinggi kerana dua kali program dianjurkan mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Tahun ini, program sama diteruskan di 15 lokasi seluruh negara dengan skala lebih besar dan menarik penyertaan 9,796 murid daripada 500 cawangan tadika serta 3,560 guru sebagai mutawwif.

Bercerita lanjut, Roslan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LCISB berkata, Littel Hajj dianjurkan dengan tujuan menyemai benih iman dan amal selain memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai ibadah haji sebagai rukun Islam kelima secara lebih praktikal.

“Kita bukan hanya nak mendidik anak terbabit tapi juga menyuburkan keinginan mengerjakan haji dalam diri mereka menerusi simulasi dengan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL).

“Tahun ini masuk edisi ke-10 penganjuran program dengan hari ini di Masjid Wilayah dan akan mengakhiri jelajah 15 lokasi pada 23 Mei depan.

“Sebelum ini berskala kecil tapi tahun ini lebih mega bersesuaian dengan sedekad penganjuran Little Hajj” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Roslan, kepuasannya adalah apabila melihat semakin ramai pengusaha tadika dan ibu bapa bersatu hati mengambil bahagian dalam program dianjurkannya.

“Tahun berganti tahun, kita dapat teruskan Little Hajj dan dipermudahkan dengan izin Allah SWT. Itu yang beri saya kepuasan kerana dapat ajak anak terbabit tapi juga ikut perintah Allah SWT sejak usia kecil.

“Bila ikut perintah-Nya, Insya-Allah hidup jadi berkat dan dapat rahmat Allah SWT. Jadi saya berdoa semoga dapat teruskan penganjuran untuk edisi ke-11 tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Sabariah gembira kerana dapat berganding bahu dengan suami dalam menganjurkan program bermanfaat dan mendekatkan generasi cilik kepada Pencipta.

Sabariah juga berbangga kerana program dianjurkan menjadi perintis dan ikutan sehingga ada individu lain yang turut menganjurkan inisiatif serupa.

“Seronok kerana dapat maklum balas positif setiap tahun malah sudah ramai juga anak terbabit dalam Little Hajj diizinkan Allah SWT untuk mengerjakan umrah.

“Bukan hanya dapat mengerjakan ibadah itu seperti diajar malah mereka boleh bercerita sejarah Nabi ketika mengikuti rombongan.

“Puas hati kerana tahu program dianjurkan dapat beri peluang kepada anak yang turut serta untuk belajar sesuatu malah dalam ramai juga kalangan pengusaha tadika juga mengerjakan haji pada usia muda selepas penyertaan dalam Little Hajj.

“Itu yang kita mahu iaitu tanamkan niat pergi haji sejak kecil dan dalam usia muda lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top