SHAH ALAM – Tiada siapa menyangka keterujaan menyambut ahli keluarga baharu teruji apabila bayi disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran injap sempit selepas tiga hari dilahirkan.
Selepas hampir dua tahun berulang-alik dari Hospital Segamat ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru menjalani rawatan susulan, Muhammad Adam Naufal Mohd Azman, 2, akhirnya menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dana diperlukan berjaya dikumpulkan.
Ibunya, Nor Salmiah Che Darus, 33, berkata, penyerahan sumbangan hasil kutipan orang ramai menerusi kempen Sinar Di Hati: Sinar Untuk Jantung Si Kecil oleh Sinar Harian dan IJN nyata memberi harapan baharu kepada keluarga demi melihat Muhammad Adam membesar dengan sihat.
Kempen itu diwujudkan bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, suri rumah itu berkata, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mencukupkan dana bagi menampung baki kos pembedahan sebanyak RM8,000.
“Anggaran kos keseluruhan RM50,000 tapi diberi potongan RM41,000 menerusi Unit Taksiran Khas Kementerian Kesihatan. Saya juga terima bantuan kewangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor selain wakil rakyat.
“Tiba-tiba saya dapat panggilan daripada IJN mengatakan Sinar Harian akan tampung kos pembedahan hasil sumbangan orang ramai. Alhamdulillah, bersyukur sangat.
“Sekarang ini, Muhammad Adam ditempatkan di wad untuk pemantauan rapi doktor pakar IJN untuk menjalani pembedahan jantung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ketika ditanya mengenai keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu, Nor Salmiah memaklumkan, Muhammad Adam tidak mengalami simptom seperti tubuh menjadi biru, namun akan muntah dan hanya berdiam diri jika terlalu aktif atau penat bermain.
“Kadang-kadang selepas bermain lasak sangat, dia akan datang pada saya dan mengadu penat. Kalau orang di sekeliling selesema atau batuk, dia mudah dijangkiti.
“Itu yang saya risau sangat. Tapi dia memang seorang kanak-kanak yang aktif dan nampak biasa berkawan dengan kanak-kanak lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nor Salmiah turut menaruh harapan anaknya kembali sihat dan aktif seperti kanak-kanak normal yang lain.
“Saya harap Muhammad Adam kembali aktif dan boleh bermain seperti anak-anak lain selepas ini. Saudara-mara, nenek dan keluarga sangat menanti kepulangan Muhammad Adam ke rumah, tak sabar nak tunggu dia balik,” katanya.
