Sydney: Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner dijangka meneruskan dominasi dunia tenis pada 2026, bermula dengan Terbuka Australia, manakala Aryna Sabalenka pula penuh keyakinan mengejar kejayaan Grand Slam seterusnya.
Musim baharu bermula Jumaat ini dengan Piala United berpasukan campuran di Perth dan Sydney, menampilkan pemain wanita nombor dua dunia, Iga Swiatek, serta pemain lelaki nombor tiga dunia, Alexander Zverev.
Sabalenka, pemain nombor satu dunia yang sedang memburu trofi Melbourne Park ketiga, memulakan aksi di saingan Antarabangsa Brisbane dari 4 hingga 11 Januari, medan persaingan hebat yang turut menampilkan juara Terbuka Australia, Madison Keys dan pemain nombor empat dunia, Amanda Anisimova.
Alcaraz dan Sinner atau dikenali sebagai ‘Sincaraz’ akan beraksi dalam perlawanan jemputan di Korea Selatan pada 10 Januari, sebagai persiapan tunggal sebelum Terbuka Australia bermula lapan hari kemudian.
Sinner mengekalkan gelaran ATP Finals di Turin selepas menewaskan Alcaraz, meskipun musim lalu dia terlepas tiga bulan kerana penggantungan doping.
Sinner juga mempertahankan gelaran Terbuka Australia dan mencatat kemenangan bersejarah di Wimbledon, selain empat kejayaan lain, menamatkan 2025 dengan 58 kemenangan dan hanya enam kekalahan.
“Saya rasa lebih baik daripada tahun lalu. Banyak kemenangan dan sedikit kekalahan. Dalam kekalahan yang ada, saya cuba lihat perkara positif dan gunakan ia untuk berkembang sebagai pemain,” kata Sinner.
Alcaraz pula mencatat rekod 71 kemenangan dan sembilan kekalahan, menjuarai lapan kejohanan termasuk Terbuka Perancis dan Terbuka AS, namun masih belum menjuarai Terbuka Australia, tewas kepada Novak Djokovic di suku akhir 2025.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu akan memulakan musim baharu dengan jurulatih baru selepas berpisah secara mengejut dengan Juan Carlos Ferrero, yang membimbingnya sejak umur 15 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



