Sindiket counter setting: SPRM teliti rekod kewangan keluarga, rakan suspek

Sindiket counter setting: SPRM teliti rekod kewangan keluarga, rakan suspek

Sepang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan rakan sekutu individu yang ditahan setakat ini berhubung kes sindiket counter setting.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan turut merangkumi sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan mereka yang ditahan.

“Sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan mereka, kita akan siasat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa direman SPRM kerana disyaki terbabit sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, ada antara yang ditahan memberi alasan bahawa wang yang diperoleh datang daripada pihak lain.

“Siasatan lanjut akan dijalankan. Aliran wang tidak terlalu panjang kerana ia tidak membabitkan sektor korporat, namun mereka tetap perlu menjawab bagaimana wang itu diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga perlu mendapatkan keterangan saksi mengenai bagaimana mereka yang ditahan mampu membeli kenderaan mewah, membuka perniagaan dan memiliki sejumlah wang tunai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top