Sindiket curi kabel: Dua bekas subkontraktor antara 10 individu ditahan

Sindiket curi kabel: Dua bekas subkontraktor antara 10 individu ditahan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Dua bekas sub kontraktor syarikat telekomunikasi antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit melakukan kegiatan curi kabel pencawang telekomunikasi di Kedah dan Perlis.

Dua suspek terbabit dipercayai menyamar sebagai juruteknik dengan memakai pakaian keselamatan sebelum masuk ke kawasan pencawang menggunakan kunci pendua.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pada 24 Ogos lalu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian curi kabel pencawang di Jalan Putra, Kampung Lubok Peringgi, di sini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pencawang itu dipercayai telah dipecah masuk dan sebanyak empat batang kabel jenis RRU Power Cable sepanjang 12 meter dipotong serta hilang.

“Bertindak atas laporan berkenaan, Polis Kedah berjaya menahan sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh serta penganggur.

“Kesemua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Baderulhisham berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, kabel yang dipotong itu akan digulung dan dibakar sebelum menjualnya kepada pemilik premis barang lusuh dengan harga antara RM25 hingga RM36 sekilo.

“Hasil tangkapan dan operasi yang dilakukan, polis Kedah berjaya menyelesaikan 31 kes antaranya 15 kes di Kota Setar; empat di Kubang Pasu; enam kes di Yan dan empat kes di Padang Terap.

“Kejadian itu turut terkesan di negeri Perlis yang membabitkan dua kes di Arau dan Padang Besar,” katanya.

Baderulhisham berkata, anggaran kerugian yang dialami pihak syarikat mencecah lebih RM50,000 manakala nilai rampasan dianggarkan sekitar RM15,000.

Beliau berkata, kegiatan kecurian kabel ini menyebabkan gangguan sistem komunikasi serta perhubungan awam selain menjejaskan keyakinan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/431 A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Sebanyak 18 kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kedah manakala baki 11 kertas siasatan masih dalam tindakan untuk dilengkapkan siasatan .

“Setakat ini satu kertas siasatan diarahkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top