am@hmetro.com.my
Kuantan: Syabu seberat 1.572 tan bernilai lebih RM83 juta dirampas selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang menahan dua kapal berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu, semalam.
Susulan rampasan itu, 18 kru termasuk dua nakhoda kapal membabitkan warga Thailand dan Indonesia ditahan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Mazlan Mat Rejab berkata, dua kapal terbabit ditahan antara jam 10.47 pagi dan 10.50 pagi kira-kira 107 batu nautika Timur Laut Kuantan ketika berlayar ke arah selatan.
Menurutnya, selepas pemeriksaan di atas kedua-dua kapal terbabit, Maritim Malaysia menemui 76 guni berisi syabu dalam sebuah kapal tangki.
“Dadah terbabit dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan diseludup melalui perairan Malaysia.
“Kapal tangki dengan 13 kru didaftar di Thailand dan sebuah kapal lagi dengan lima kru didaftarkan di Indonesia.
“Kita syak syabu terbabit dibawa kapal tangki akan dipindahkan ke kapal kargo,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mazlan berkata, susulan rampasan itu, 10 warga Thailand serta lapan warga Indonesia kru kapal berusia antara 33 dan 71 tahun ditahan.
Menurutnya, mereka dipercayai sindiket terbabit dalam pengedaran dadah antarabangsa dan menggunakan kapal tangki serta kapal kargo sebagai modus operadi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui lokasi dadah untuk kegunaan lebih sembilan juta penagih itu akan dihantar dan mengesan rangkaian sindiket antarabangsa terbabit.
“Dua kapal ditahan itu ditunda ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Terangganu dan semua kru direman hingga 19 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta disebat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




