Sindiket dadah bersenjata tumpas, empat warga Indonesia dicekup

Sindiket dadah bersenjata tumpas, empat warga Indonesia dicekup

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang turut memiliki senjata berbahaya tumpas apabila empat lelaki warga Indonesia ditahan dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco, semalam.

Serbuan jam 4.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu hasil maklumat risikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 62.35 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM6,858.50 serta beberapa senjata berbahaya.

“Turut dirampas lima peluru penabur, senapang angin dan pedang samurai yang dipercayai digunakan untuk tujuan perlindungan dan aktiviti jenayah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Jimmy berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran serta sumber bekalan dadah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top