Sindiket dadah tumpas, dadah RM14 juta dirampas

Sindiket dadah tumpas, dadah RM14 juta dirampas

am@hmetro.com.my

Gombak: Kelicikan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sejak hampir setahun akhirnya tumpas susulan penahanan lima individu termasuk suami isteri dan rampasan 325 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM14 juta dalam serbuan berasingan.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di tiga lokasi berasingan pada Isnin dan Selasa lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Batu Caves, di sini yang membawa kepada penahanan suami isteri yang suspek lelaki dipercayai berperanan sebagai penjaga stor.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan merampas 197 plastik dipercayai berisi ketamin dianggarkan seberat 200 kg dan 121 bungkusan plastik dipercayai berisi methamphetamine seberat 125 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua di kawasan parkir kenderaan sebuah kondominium di Wangsa Maju yang menahan seorang lelaki, manakala dua lelaki lain juga ditahan di sebuah kondominium di tempat yang sama dalam serbuan ketiga.

“Suspek keempat dipercayai berperanan sebagai koordinator, manakala suspek ketiga dan kelima adalah rakan sekutu dalam sindiket berkenaan.

“Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 29 hingga 38 tahun dan sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya turut menyita enam kereta pelbagai jenis dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM300,000.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari utara negara melalui jalan darat namun pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sama ada barang terlarang itu dibawa masuk melalui jalan utama atau jalan ‘tikus’.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan menjadikan rumah di kawasan Lembah Klang sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran kawasan sama kerana permintaan tinggi.

“Kumpulan ini begitu licik dan kita sudah ikut mereka (hampir) setahun dan kali ini berjaya (ditahan). Ini satu kejayaan besar untuk melumpuhkan kumpulan licik ini,” katanya.

Menurutnya, ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan mendapati mereka juga tiada rekod kesalahan lampau.

“Kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top