am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan bunga ganja seberat 221.4 kilogram bernilai RM14.6 juta menerusi empat siri serbuan berasingan antara 3 hingga 5 Mac lalu.
Serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan serta lima warga asing termasuk seorang wanita.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, kes pertama membabitkan tangkapan empat warga asing termasuk seorang wanita dengan rampasan dadah disyaki bunga ganja seberat 116.3 kilogram dianggarkan bernilai RM9.35 juta.
Katanya, pada 3 Mac lalu, seorang lelaki disyaki keldai dadah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama bagasi berisi 49 bungkusan plastik mengandungi dedaun kering disyaki bunga ganja seberat 27.2 kilogram dipercayai untuk dibawa ke luar negara.
“Susulan tangkapan itu, pada 4 Mac, seorang lagi lelaki warga asing dipercayai salah seorang dalang utama sindiket ditahan di sebuah rumah di Kota Warisan Sepang. Turut dirampas adalah satu bagasi berisi 25 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 14.3 kilogram.
“Hasil soal siasat, dua suspek termasuk seorang wanita warga asing ditahan di sebuah kondominium sekitar Mont Kiara, Kuala Lumpur yang mana hasil pemeriksaan, lima bagasi berisi 136 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 74.8 kilogram dijumpai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, keempat-empat suspek berkenaan berusia 20 hingga 30 tahun dan memasuki negara ini antara Disember 2025 hingga pertengahan bulan lalu menggunakan pas lawatan pelancong.
Katanya, semua suspek adalah dari rangkaian sindiket yang sama dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran luar negara.
“Polis juga menyita dua kereta, dua jam tangan termasuk dari jenama mewah serta mata wang kripto,” katanya.
Shazeli berkata, dalam kes berasingan, dua lelaki termasuk seorang warga asing di sekitar Gombak dengan rampasan lima beg kanvas berisi 64 bungkusan plastik bertulis ‘Daguanyin’ disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 105.1 kilogram.
Katanya, dadah bernilai RM5.25 juta itu ditemui di ruangan belakang sebuah van jenis Nissan yang digunakan suspek.
“Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 34 tahun bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier dan mempunyai tiga rekod lampau bersabit dadah.
“Suspek kedua pula berusia 47 tahun dan bekerja di sebuah kuil sekitar Batu Caves tidak mempunyai sebarang rekod di Malaysia.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan sindiket ini dipercayai aktif sejak bulan lalu,” katanya
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




