bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas sejumlah rokok tidak bercukai dan mercu serta sebuah kenderaan keseluruhannya bernilai lebih RM700,000, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Jalan Ahad Kampung Ungku Mohsin, di sini pada 6.50 petang semalam.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis menahan suspek ketika sedang memandu keluar dari kawasan itu dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai jenis mercun dan rokok. Seterusnya, pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan itu dan menjumpai beberapa karton rokok pelbagai jenama tiada cukai kastam yang disembunyikan dalam sebuah kontena kecil.
“Suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai runcit di sekitar kawasan Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM723,496.
Dimin berkata, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Johor Bahru.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan Ianjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




